Sempena menyambut ulangtahun ke-10 dalam industri pakaian Malaysia, El Azman, pengasas Elrah Exclusive meneruskan ilham kreatifnya dengan menghasilkan sebuah filem pendek berjudul “Mak”.
Filem pendek ini diadaptasi dari kisah kehidupan zaman remajanya yang rumit serta mengetengahkan ikatan kekeluargaan dan kuasa kasih sayang seorang ibu yang kekal abadi.
Filem pendek ini diterajui oleh Beto Kusyairy, Sharnaaz Ahmad, Amir Ahnaf, MK K-Clique, Meerqeen, Shahril Hamdan, Fadhli Masoot serta penampilan khas, Khairy Jamaluddin.
Naratif filem yang sangat menyentuh hati ini mengisahkan perjalanan seorang remaja yang sering diabaikan bernama Hilmi, yang mendambakan belaian dan kasih sayang dari ibunya.
Majlis pelancaran filem pendek ini diadakan di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur turut dihadiri oleh 500 orang peminat, keluarga dan rakan niaga Elrah Exclusive.
Elrah Exclusive merupakan salah satu jenama terkenal dalam fesyen baju melayu lelaki sering menghasilkan koleksi Baju Melayu dan Kurta yang unik dan tersendiri bagi melambangkan gaya dan keunggulan si pemakai.
Mula ditubuhkan pada tahun 2014 dan bertapak di Bangi Sentral, Elrah Exclusive telah meluaskan jenamanya di seluruh Malaysia dan kini melebarkan sayapnya ke pasaran Asia Tenggara.
Setiap koleksi yang direka dengan teliti mencerminkan revolusi industri fesyen terkini terutamanya dalam Baju Melayu. Barisan produk Elrah Exclusive mempromosikan ciri ketahanan dan penggunaan kain tekstil yang menjamin keselesaan kepada pemakai.
Beroperasi sebagai sebuah syarikat milikan tunggal, Elrah Exclusive kini menjadi jenama “Top Brand in Asia”.