Maxis Berhad (Maxis), penyedia telekomunikasi bersepadu terkemuka Malaysia, dan Nokia telah memperkukuhkan kerjasama mereka untuk memacu ketersambungan generasi akan datang.
Perluasan kerjasama jangka panjang antara Maxis dan Nokia ini memfokuskan kepada dua bidang: kolaborasi untuk meningkatkan keselamatan dan kebolehpercayaan rangkaian, serta pelantikan Nokia oleh Maxis sebagai sebuah rakan untuk membina sebahagian daripada ekosistem Teras 5G Maxis bagi memenuhi keperluan ketersambungan masa
hadapan.
Kolaborasi tersebut telah dimeterai di sebuah majlis Memorandum Persefahaman (MoU) di Pavilion Malaysia sempena Mobile World Congress 2024 yang diadakan di Barcelona baru-baru ini, disaksikan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Sebagai sebahagian daripada kolaborasi tersebut, Maxis akan bekerjasama dengan Nokia untuk menerokai pelaksanaan teknologi yang lebih baharu bagi mengukuhkan lagi rangkaian Maxis, meningkatkan keselamatan dan kebolehpercayaan.
Ini termasuk rangkaian optik selamat kuantum (quantum-safe optical networking) yang melindungi daripada ancaman kedua-dua komputer klasikal dan kuantum.
Tambahan pula, kedua-dua syarikat akan meneroka inovasi yang boleh memudahkan keterhubungan yang cekap dan boleh diskala merentas persekitaran awan untuk memperkukuh keselamatan rangkaian, turut memanfaatkan pelanggan perusahaan dengan keselamatan yang diperkukuh.
Langkah-langkah ini adalah sejajar dengan peningkatan dalam keperluan untuk infrastruktur rangkaian yang boleh menyokong kesalinghubungan yang teguh dan pertukaran data rentas sempadan yang lancar, disokong oleh pusat data optik yang lebih selamat.
Maxis baru-baru ini telah memilih Nokia sebagai sebuah rakan utama untuk membina sebahagian daripada ekosistem Teras 5G Maxis bagi memenuhi keperluan ketersambungan masa hadapan.
Ini termasuk penggunaan penyelesaian berasaskan awan yang akan
membolehkan Maxis memanfaatkan sepenuhnya keupayaan 5G, dengan kefungsian, kebolehpercayaan dan kecekapan yang lebih baik dalam memacu penawaran 5G generasi akan datang.