Angkatan India Setia Johor (AISJ) menjunjung setinggi-tinggi kasih terhadap
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan
Ibrahim di atas titah Baginda bersempena Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas
pada 26 Februari lalu.
“Kami dari AISJ yang merupakan rakyat dibawah naungan KDYMM selama ini di
Negeri Johor, amat berbesar hati kerana Seri Paduka Baginda meneruskan legasinya
untuk melihat perpaduan antara rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum di negara
ini terus utuh, dijaga dan dititikberatkan.
“Sifat Seri Paduka Baginda yang mahukan rakyat sentiasa bersatu padu bukanlah
sesuatu yang asing bagi rakyat Malaysia, kerana sepanjang memayungi rakyat di
Johor, Seri Paduka Baginda adalah individu yang peka dalam memastikan kebajikan
rakyat terus dibela menerusi semangat muafakat,” kata Pengerusi AISJ, S. Deva dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, dengan gaya kepimpinan yang tegas serta mesra rakyat, Rakyat Johor yakin konsep hidup bermuafakat ini akan terus disemarakkan oleh KDYMM Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong ke seluruh pelusuk negara.
Katanya, sudah pasti rakyat kini boleh berlapang dada kerana Seri Paduka Baginda adalah seorang Raja yang boleh rakyat harapkan untuk menerajui negara ketika ramai
pemimpin politik semakin tersasar keluar dari landasan yang sepatutnya
mengutamakan perpaduan rakyat berbilang kaum, bangsa dan lapisan etnik di negara
ini.
Justeru, adalah diharapkan setiap Ahli Parlimen tidak kira dari blok Kerajaan mahupun
Pembangkang untuk mengambil ikhtibar daripada setiap patah perkataan titah Seri
Paduka Baginda itu.
Seperti titah Seri Paduka Baginda, kini adalah masanya untuk setiap wakil rakyat di
Parlimen menjaga kawasan masing-masing serta meletakkan kepentingan negara
lebih tinggi daripada kepentingan diri serta ideologi politik sendiri.
“Terimalah teguran serta titah nasihat KDYMM Seri Paduka Baginda itu dengan hati
yang terbuka serta tingkatkan mutu perkhidmatan masing-masing sebagai penggubal
undang-undang yang lebih dihormati dan disegani oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Janganlah asyik berpolitik ataupun cepat melatah hingga sanggup bertindak di luar
adab orang Malaysia dengan mengeluarkan kenyataan terbuka yang menderhaka
terhadap titah Seri Paduka Baginda dan seolah-olah seperti mahu mengajar Seri
Paduka Baginda mengenai apa itu Perlembagaan Persekutuan.
“Sebagai wakil rakyat yang rasional, janganlah hanya ambil titah Seri Paduka Baginda
dari sudut perspektif demi agenda politik semata-semata,” katanya.
Atas kesedaran itu, AISJ menyeru dan mengajak seluruh Rakyat Malaysia agar
menjunjung serta fahamilah maksud dan intipati titah Baginda itu secara keseluruhannya, bukannya diambil dan dipotong ikut sesuka hati sendiri sahaja.
“Kami orang Johor sangat mengenali Sultan kami. Seri Paduka Baginda telah lama
memupuk dan mengajar kami supaya hidup sebagai Bangsa Johor, tidak kiralah latar
belakang bangsa dan kepercayaan agama yang berbeza ianya tidak menjadi
penghalang untuk kami semua hidup bermuafakat.
“Kerana Seri Paduka Baginda percaya dan kami juga percaya bahawa muafakat itu
berkat, ibarat pepatah Melayu bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana
muafakat. Kita semua perlu akur bahawasanya negara ini ditubuhkan hasil titisan darah dan perjuangan nenek-moyang kita dahulu, janganlah hancur dan musnahkannya,” katanya.