Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan 22/3 hingga 46/3, Bandar Mahkota Cheras, Selangor, bercadang memasang beberapa Kamera Litar Tertutup (CCTV) sekitar taman ini sebagai langkah meningkat tahap keselamatan kepada penduduk.

Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan, Bandar Mahkota Cheras bagi sesi 2023/2024, Peter Loo Chen berkata, pemasangan CCTV itu membolehkan pegawal keselamatan memantau dari pondok pengawal sekali gus menjadikan penghuni dalam taman ini berasa selamat.

“Kita harap lebih ramai penghuni yang belum menjadi ahli persatuan untuk turut serta menjadi ahli supaya bayaran yuran keselamatan sebanyak RM50 sebulan dapat memberi manfaat kepada semua penghuni.

“Kita juga mahu meneruskan program gotong royong pada tahun depan bagi memastikan taman ini sentiasa bersih dan tiada kes pembiakan nyamuk aedes yang boleh mengancam nyawa. Diharapkan semua perancangan ini mendapat sokongan daripada semua penduduk,” katanya dalam ucapan aluan sempena Mesyuarat Agung Persatuan Penduduk Kali Ke-7 yang diadakan pada 17 Disember 2023.

Beliau berkata, pada tahun ini pihak persatuan sudah mengadakan program gotong royong yang diadakan pada 26 Februari lalu yang dihadiri kira-kira 60 penduduk manakala program keselamatan komuniti bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 4 November lalu yang dirasmikan oleh Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Lim Kim Eng.

Menurutnya, peranan utama persatuan bukan hanya mengutip bayaran keselamatan setiap bulan tetapi menyediakan suasana persekitaran yang aman, selesa dan selamat kepada semua penghuni.

“Kami juga masih mengekalkan kadar bayaran yuran keselamatan sebanyak RM50 sebulan tahun depan kerana memahami keadaan ekonomi semasa yang tidak begitu baik ketika ini meskipun terpaksa menanggung kos kenaikan kadar bayaran keselamatan yang dikenakan oleh pihak syarikat keselamatan.

“Selain program gotong royong, pihak persatuan juga merancang mengadakan demontrasi menggunakan alat pemadam api bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bertujuan memberikan pengetahuan kepada penduduk bagaimana menghadapi kecemasan seperti kebakaran di rumah,” katanya.

Sementara itu, dalam sesi soal jawab dengan penduduk, beberapa orang penduduk turut memberi cadangan seperti menyediakan butang panik sekiranya berlaku kecemasan sekitar taman ini seperti kes pecah rumah supaya pengawal keselamatan dapat bertindak cepat sekiranya menerima panggilan kecemasan.

Selain itu, penduduk juga mahukan kerjasama daripada penghuni taman lain agar bertimbang rasa dan tidak memarkir kenderaan mereka dihadapan rumah penghuni lain.

Sementara itu, dalam majlis dialog dengan penduduk, antara isu yang dibangkitkan ialah kehadiran anjing liar dan monyet yang kadang-kala mengganggu ketenteraman penduduk sekitar.

Penduduk turut mendakwa kehadiran monyet liar yang banyak menyebabkan bumbung rumah mereka rosak dan berharap pihak berkaitan seperti Jabatan Perhilitan mengambil tindakan segera untuk mengatasinya.

Selain itu, penduduk juga berharap pihak MPKJ membersihkan pokok-pokok hutan berhampiran taman ini bagi mengelakkan kehadiran binatang berbisa seperti ular yang sering dilaporkan memasuki rumah penduduk berhampiran.

Majlis diakhiri dengan sesi cabutan bertuah dan jamuan makan yang diberikan secara pek bungkusan serta minuman.

Jom kita lihat gambar-gambar menarik sekitar Mesyuarat Agung Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan, Bandar Mahkota Cheras, Seksyen 3, Cheras Selangor kali ke-7 dibawah ini.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini