Menerusi usaha sama Malaysia dan India untuk memupuk ekosistem syarikat pemula yang teguh di kedua-dua negara dan rantau ASEAN yang lebih meluas, lebih daripada 600 syarikat pemula tempatan dan antarabangsa bakal berhimpun pada Sidang Kemuncak Syarikat Pemula India-ASEAN (India-ASEAN Startup Summit – IASS) 2023 yang julung kali berlangsung mulai 12 hingga 13 Disember 2023 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid.
Inisiatif perintis oleh DEWI Wealth Accelerator, IASS 2023 merupakan peluang untuk syarikat pemula mengetengahkan idea dan penyelesaian inovatif mereka.
Menerusi tumpuan terhadap inovasi, kerjasama dan pemerkasaan wanita, sidang kemuncak berkenaan akan menyaksikan penyertaan daripada 50 pelabur tempatan dan antarabangsa serta 100 hab syarikat pemula, accelerators dan agensi kerajaan, termasuk Startup India, Invest India, MDEC dan MDV.
Pengasas DEWI Wealth Accelerator, Datin Malliga Subramaniam, menekankan peluang luar
biasa yang bakal diketengahkan pada sidang kemuncak berkenaan bagi membolehkan syarikat pemula menyelidiki potensi luas dari segi kerjasama rentas sempadan bersama rakan usaha sama dari India.

“Di IASS 2023, kami teruja untuk mewujudkan satu platform yang mana syarikat pemula Malaysia boleh mendapatkan pandangan daripada ekosistem teknologi digital India yang pesat berkembang.
“Pasaran luas India dan insentif yang menggalakkan bagi perniagaan dalam sektor yang baharu muncul merupakan tawaran yang sangat baik untuk inovasi. Sidang kemuncak ini akan membuka laluan kepada syarikat pemula Malaysia memperoleh manfaat daripada pasaran India sekali gus saling memupuk pertukaran idea dan strategi.
“Kami menyediakan persekitaran untuk membentuk kerjasama dinamik yang mana syarikat pemula dari kedua-dua rantau boleh memanfaatkan kekuatan masing-masing, memacu pertumbuhan dan inovasi dalam bidang teknologi digital,” katanya dalam kenyataan.
Tumpuan khusus sidang kemuncak berkenaan adalah untuk memperkasa syarikat pemula yang diterajui wanita, menangani cabaran dan peluang unik dalam sektor ini.
Mengetengahkan kepentingan strategik sidang kemuncak berkenaan dalam meingkatkan
hubungan India-Malaysia, Yang Terutama BN Reddy, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia,
memberi penekanan terhadap peranan IASS 2023 sebagai asas untuk memupuk hubungan
ekonomi dan inovatif antara dua negara berkenaan.
“India dan Malaysia menikmati hubungan perdagangan dan pelaburan yang kian berkembang. Perdagangan dua hala sudah mencecah AS$20 bilion dalam tahun kewangan 2022-23.
“Pelaburan dua hala turut merekodkan perkembangan ketara. Syarikat pemula India berjaya meluaskan pasaran ke Malaysia dan seterusnya ke rantau ASEAN. Beberapa syarikat pemula India seperti Oyo, Perfios, Pine Labs, Razorpay kini bertapak kukuh di Malaysia dan sedangmeneroka peluang yang luas di rantau Asia Tenggara,” katanya.
Beliau menambah bahawa syarikat pemula Malaysia boleh mendapat manfaat dari India kerana negara berkenaan menawarkan pasaran besar dan beberapa insentif untuk menjalankan perniagaan dalam sektor baharu muncul serta menyediakan persekitaran yang optimum bagi syarikat pemula teknologi berkembang maju.
“India mempunyai ekosistem syarikat pemula ketiga terbesar di dunia dengan pertumbuhan tahunan yang konsisten sebanyak 12-15%. Pada masa ini, terdapat lebih daripada 115,000 syarikat pemula di India yang diiktiraf oleh Kerajaan India dengan 110 syarikat pemula berstatus unicorn (dengan nilai lebih daripada AS$1 bilion).
Syarikat pemula India kini bekerjasama secara aktif dengan syarikat pemula Malaysia, misalnya Razorpay – pemain fintech terkemuka di India yang bekerjasama dengan Curlec (syarikat pemula Malaysia) dan sudah memperoleh pegangan majoriti ke atasnya.

Timbalan Menteri Belia & Sukan, Adam Adli, menyatakan sokongan kepada kerjasama antarabangsa sedemikian yang mana acara rentas sempadan seperti IASS 2023 sememangnya penting dalam menggalakkan pertumbuhan keusahawanan dan inovasi serta mustahak bagi pertumbuhan holistik ekosistem syarikat pemula di negara ini.
Sidang kemuncak berkenaan disokong oleh rakan kongsi dari kedua-dua negara, Malaysia (termasuk Malaysia Digital Economy Corporation, Malaysian Investment Development Authority, Malaysia Debt Ventures, Majlis Belia Malaysia, Beyond4, SME Corporation, Sunway Group, PubliCT.io dan NisaBakri Gourmet) dan India (termasuk Kementerian Sains & Inovasi, Kementerian Perdagangan, India ASEAN Chamber of Commerce, Startup India dan Invest India).
Acara berkenaan akan menampilkan ucaptama daripada peneraju industri, perbincangan panel dan sesi rangkaian bagi memupuk kerjasama dan pertumbuhan perniagaan. Beberapa penceramah terkenal termasuklah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasamy; Pengasas Bersama PitchIN, Sam Shafie; Pengasas Bersama Fave, Yeoh Chen Chow; Pengerusi G20 Startup India, Chintan Vaishnav serta Pengasas CEO – The India Network/Usahawan/Pelabur, Rahul Narvekar.
Antara topik yang bakal diteroka termasuk mekanisme pembiayaan, akses pasaran dan penjenamaan, berserta perbincangan mengenai strategi perkembangan rentas sempadan.