Maybank Islamic Berhad bekerjasama dengan TFX Islamic Sdn Bhd, syarikat teknologi kewangan (fintech) patuh Syariah untuk platform kewangan rantaian bekalan digital (digital supply chain) yang menawarkan pengalaman digital hujung ke hujung (end-to-end) kepada pelanggan dengan mempercepatkan masa pelepasan dana pembiayaan kepada hanya satu hari berbanding purata 3 hari.

Platform yang dikenali sebagai “Islamic Digital Supplier Financing Programme (DSFP-i)”
mampu memendekkan proses yang melibatkan dokumentasi fizikal, pengurusan dokumen
fizikal antara pembeli dan pembekal, sehingga ke pihak bank.

Maybank Islamic dan TFX Islamic akan bekerjasama dalam penyelesaian keperluan pasaran
dengan membantu mendigitalkan perkhidmatan transaksi komersial kepada pembeli dan
senarai pembekal dalam rantaian bekalan fizikal menggunakan platform TFX, di samping
memanfaatkan keupayaan Maybank Islamic dalam menawarkan penyelesaian mudah tunai
(liquidity) kepada keseluruhan rantaian bekalan.

“Dalam dunia yang bergerak pantas pada hari ini, pelanggan mengharapkan kaedah yang
lebih mudah, pantas dan penyelesaian yang diperibadikan serta boleh diubahsuai.

Kerjasama ini bertujuan untuk memenuhi kehendak pelanggan dengan menyediakan pengalaman digital hujung ke hujung (end-to-end) dan memudahkan akses kepada pembiayaan dengan memanfaatkan rantaian bekalan fizikal mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Dato’ Mohamed Rafique Merican.

Katanya, DSFP-i bukan seperti produk perdagangan yang lain kerana ia merupakan
usaha Kumpulan Maybank dalam evolusi keperluan pasaran hari ini yang bersifat digital dan pantas.

“Kami yakin bahawa inisiatif ini memberikan impak yang positif kepada pelanggan kami
dalam meningkatkan aliran tunai perniagaan mereka serta pengurusan rantaian bekalan
yang kini menuju ke era transformasi digital. Kerjasama kami dengan TFX Islamic akan
mengukuhkan komitmen Maybank terhadap Strategi M25+ dengan pengalaman pelanggan
menjadi salah satu tonggak utama strategi ini,” kata Dato’ Mohamed Rafique Merican.