Pengerusi NGO Antarabangsa yang juga Professor Adjung Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Datuk (Dr) Mustapha Ahmad Marican melakukan lawatan ke masjid utama Kg Jamuan di sempadan Kemboja, Vietnam bagi melihat kerja-kerja baik pulih tangga masjid, tempat mengambil wuduk dan kawasan parkir kenderaan di masjid tersebut.
Kampung ini merupakan kampung yang paling hampir dengan sempadan Kemboja-Vietnam. Kebanyakan penduduk di sini mencari rezeki dengan mengambil upah menoreh getah, mengangkat barang-barang, menjadi pemandu lori dan menjadi guru tahfiz.
“Kerja baik pulih ini adalah bertujuan untuk memudahkan urusan penduduk kampung khususnya warga emas yang datang untuk menunaikan solat.
“Masjid yang mempunyai kemudahan yang selesa dan bersih secara tidak langsung menggalakkan anak-anak kecil berasa seronok untuk datang ke masjid kerana mempunyai kemudahan yang baik,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan imam masjid tersebut Ustaz Ramly Yusof dan Ustaz Ghazali Ismail.
Mustapha berkata, penduduk di kampung ini sentiasa mengamalkan konsep gotong-royong bagi mewujudkan suasana harmoni, kerjasama dan perpaduan antara satu sama lain.
Beliau turut berharap kampung-kampung ditempat lain dapat menghidupkan suasana muafakat begini supaya banyak perkara dapat diselesaikan dengan cepat tanpa mengharapkan orang lain.
Menurut Mustapha lagi, kos pembinaan tangga masjid dan kawasan parkir kenderaan diusahakan oleh penduduk kampung sendiri. NGO cuma membantu untuk membina tempat mengambil wuduk bagi wanita dan membaik pulih sedikit anak tangga tersebut dengan anggaran kos USD 1,000.
“Kita sedang berusaha untuk mendapatkan sumbangan dari mereka yang bermurah hati untuk menderma bagi kerja-kerja baik pulih tersebut,” katanya lagi.