Pertandingan teknologi terulung, Malaysia Techlympics 2023 menyasarkan sejuta pendaftaran menerusi pelbagai program anjurannya tahun ini dengan jumlah
pendaftaran terkini sudah mencecah 1,000,000.
Malaysia Techlympics mengetengahkan enam kategori yang dibahagikan kepada 39
pertandingan merangkumi pelbagai pertandingan berteraskan teknologi sohor seperti kecerdasan buatan (AI), Internet kebendaan (IoT), dron, pengekodan dan robotik yang akan dipertandingkan di peringkat negeri, zon dan kebangsaan.
Malaysia Techlympics merupakan inisiatif MOSTI dalam usaha memupuk minat generasi muda terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan pertandingan yang lebih menyeronokkan, membudayakan belia dengan minda kritikal, set kemahiran dan inovasi yang lebih bermakna serta berimpak tinggi.
Pelancaran Malaysia Techlympics berlangsung baru-baru ini, seiring dengan majlis perasmian Karnival Minggu Sains Negara Kedah yang disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, di Dewan CRC, Kulim, Kedah.
Penganjuran karnival di setiap negeri adalah untuk meraikan kepelbagaian dengan memberi peluang kepada penggerak dan pengamal Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) tempatan mengetengahkan teknologi dan inovasi mereka yang tersendiri kepada umum, khususnya kepada anak negeri ini.
Program Minggu Sains Negara (MSN) pada tahun ini merupakan penganjuran tahun keenam, bertujuan untuk membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Justeru, untuk tahun ini, MOSTI melaksanakan program MSN di seluruh negara melalui
penganjuran karnival serta dalam talian bagi menarik minat dan penyertaan masyarakat setempat.
Malaysia Techlympics 2023 turut melancarkan lagu rasminya ciptaan Zhamzury Yusof atau lebih mesra dipanggil Abang Zham yang menyanyikan sendiri lagu berkenaan.
Menurutnya, muzik merupakan salah satu medium yang baik dalam menyampaikan maklumat serta memberi kesedaran kepada anak muda. Lagu rasmi berkenaan memberi impak yang positif kepada anak-anak muda sekali gus memberi kesedaran kepada anak muda tentang kepentingan teknologi dalam dunia masa kini dan di masa hadapan.
Justeru, beliau berharap setiap kali lagu terbabit diperdengarkan, ia dapat memberi impak yang diinginkan dengan menghubungkaitkan teknologi terkini dalam tema lagu tersebut.
Turut mengiringi persembahan Abang Zham adalah 20 pelajar Orang Asli dari Sekolah
Kebangsaan Siong. Pelajar berkenaan adalah murid darjah empat sehingga darjah enam daripada suku kaum Kensiu, iaitu satu-satunya suku kaum yang hanya ditemui di Kedah sahaja.
Pada majlis berkenaan, Chang turut merasmikan Metaverse Malaysia Techlympics.
Pembangunan platform metaverse Malaysia Techlympics ini dilaksanakan dengan kerjasama EZ Cute Robots, Redbrick dan Alibaba Cloud menerusi nilai tajaan sebanyak AS$200,000.
Teknologi metaverse membolehkan interaksi antara satu sama lain dalam dunia digital dengan penggunaan teknologi virtual reality atau augmented reality yang menjadi tarikan dalam kalangan pelajar sekolah khususnya dari segi perkongsian ilmu dan maklumat menerusi interaksi di alam maya.
Program yang berlangsung selama dua hari ini mendapat sambutan hebat dengan lebih 6,000 pengunjung hadir termasuk tetamu jemputan, pelajar sekolah dan penduduk setempat.
Pendaftaran Malaysia Techlympics masih dibuka sehingga 30 Julai 2023 bagi Zon Utara dan Sabah, 15 Ogos 2023 bagi Zon Tengah dan Sarawak, 31 Ogos bagi Zon Timur dan Selatan. Ia terbuka kepada pelajar dan belia berumur tujuh hingga 30 tahun.
Rakan usahasama, pelajar dan belia dijemput menyertai Malaysia Techlympics dengan
mendaftar melalui laman web www.hometechlympics.my. Untuk maklumat terkini, ikuti laman sosial @mytechlympics.