Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) bakal kembali dianjurkan buat kali keenam dengan penglibatan dari 10 buah negara rantau ASEAN.

Pengarah festival AIFFA, Livan Tajang berkata, sehingga ke hari ini lebih 120 penyertaan filem diterima dan akan dinilai oleh juri-juri yang terdiri daripada individu berpengaruh dalam industri filem untuk disenarai pendekkan, seterusnya dianugerahkan pada festival AIFFA itu nanti.

“Lebih daripada 120 penyertaan filem telah diterima dan akan disenarai pendek oleh juri-juri AIFFA 2023 ASEAN dan antarabangsa yang diketuai oleh ketua juri U-Wei Shaari dengan juri terkemuka lain seperti Ihsan Nurullah Kabil dari Turki, Viva Westi dari Indonesia, Pham Thi Hong Anh dari Vietnam dan Effendee Mazlan, dari Malaysia.

“Pelbagai acara tambahan selama tiga hari itu nanti turut dijalankan di Old Court House, Kuching termasuk tayangan filem yang disenarai pendek dan bengkel filem yang terbuka kepada orang ramai. Pada masa yang sama, pengunjung juga berpeluang bertemu barisan pelakon dan kru filem ASEAN,” katanya dalam sidang media Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2023, di Pawagam Jalan Ampas, Aswara Kuala Lumpur.

Menteri di Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya yakin mampu mencapai sasaran lebih tiga juta pelancong ke negerinya menjelang akhir tahun ini.

“Jumlah itu juga dipercayai akan dirancakkan lagi menerusi penganjuran Festival Filem Antarabangsa Asia (AIFFA) yang akan berlangsung bermula 2 hingga 4 Ogos ini.

“Kami yakin apa sahaja program atau acara yang melibatkan selebriti dan artis mesti akan ada anjakan daripada segi jumlah kemasukan pengunjung atau pelancong.

“Menerusi penganjuran AIFFA 2023 ini juga, kita yakin dapat menerima impak yang positif. Ini adalah cara kita di kementerian dan agensi-agensi di bawah kami untuk merancakkan ekonomi di Sarawak.

Menurutnya, menerusi sektor pelancongan dan acara-acara yang menarik di bumi kenyalang, pelancongan Sarawak sememangnya agresif melakukan promosi sehingga ke Eropah dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi sektor itu.

“Sehingga April tahun ini, Sarawak menerima 1.30 juta pelancong dengan peningkatan sebanyak 315.41 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu” katanya lagi.

Pelancongan Sarawak bukan sahaja tertumpu di Kuching sahaja malah memfokuskan bandar-bandar lain antaranya Miri, Sri Aman, Bintulu dan pelbagai lagi.

Sementara itu, festival AIFFA menyaksikan penyertaan 120 filem dari negara Asean dan 34 daripadanya dari Malaysia. Kesemua filem-filem ini dihasilkan dari tahun 2020 hingga 2022.