Sekolah Kebangsaan Pos Bersih Ulu Slim, Perak antara 50 tempat terawal terpilih untuk Program Jangkauan Malaysia Techlympics 2023 serta Techlympics Makerslab di sekolah itu.
Program ini merupakan satu lagi inisiatif di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk mendekatkan lagi anak muda di kawasan luar bandar seperti di kawasan orang asli dalam aktivit pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Selaras dengan hasrat Malaysia Madani dalam mewujudkan masyarakat yang inklusif dengan menitikberatkan akses kepada keperluan asas dan pendidikan berkualiti, YBrs TKSU (P) dalam ucapannya berharap agar program keterangkuman dapat meningkatkan akses kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) STEM khususnya kepada pelajar luar bandar serta memberi pendedahan kepada komuniti setempat berkaitan teknologi yang boleh dijadikan asas dalam kerjaya masa hadapan.

Program ini juga adalah salah satu elemen pengisian program Malaysia Techlympics untuk melibatkan latihan kepada guru-guru dan sekolah luar bandar. Malaysia Techlympics 2023 merupakan inisiatif MOSTI dalam usaha memperkasa Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta memupuk minat generasi muda terhadap STEM melalui pendekatan yang lebih menyeronokkan, membudayakan belia dengan minda, set kemahiran dan inovasi yang lebih bermakna dan berimpak tinggi melalui konsep pertandingan.
Pada tahun lepas, Malaysia Techlympics menerima sebanyak 47 penyertaan dari masyarakat orang asli dan jumlah tersebut dijangka akan meningkat melalui program keterangkuman ini, sekaligus dapat memenuhi tema Malaysia Techlympics 2023 iaitu Keterangkuman Malaysia Madani.

Sempena majlis pelancaran ini, pihak MOSTI turut memberikan sumbangan bernilai RM60,000 melalui ‘Techlympics Makerslab’ yang mana ianya turut dilancarkan pada hari yang sama kepada dua buah sekolah iaitu SK Pos Bersih dan juga SK Pos Tenau, di mana makmal STEM di dua buah sekolah ini diberikan nafas baru, dilengkapi dengan bahan-bahan pembelajaran STEM yang dapat digunakan murid bagi tujuan pembelajaran seperti robot dan ‘3D printer’.
Dengan sokongan dan penglibatan Malaysia Madani, program Keterangkuman Malaysia Techlympics dan penajaan bengkel ‘Techlympics Makerslab’ ini diharap mampu melahirkan masyarakat inovatif bermula daripada usia muda tidak kira latar belakang dalam usaha untuk ‘Merakyatkan Sains dan Menginsankan Teknologi’.

SK Pos Bersih merupakan sekolah pertama di antara 50 buah kawasan yang terlibat dalam program keterangkuman Malaysia Techlympics 2023. Pihak MOSTI berharap agar lebih ramai penyertaan dalam Malaysia Techlympics datang dari pelajar sekolah luar bandar pada tahun ini, hasil dari program keterangkuman ini.