Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) melaporkan telah berjaya membangunkan hampir 50,000 modal insan Bumiputera melalui lebih 370 program dalam tempoh sepuluh tahun penubuhannya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang dipengerusikan oleh Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri merangkap Ahli Yayasan Peneraju.

Turut hadir Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), merangkap Ahli Yayasan Peneraju dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Peneraju, serta Dr Mohd Muzzammil Bin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan
Peneraju.

Yayasan Peneraju merupakan sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang
berperanan untuk mengukuhkan pembinaan keupayaan Bumiputera secara sejagat dan
berterusan selaras dengan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera.

Maju kehadapan, Yayasan Peneraju akan meneruskan mandat meningkatkan kualiti,
kuantiti, keberkesanan modal insan Bumiputera supaya mereka mampu menempatkan diri
dalam industri dan pasaran kerja berpendapatan tinggi.

Ini termasuklah mewujudkan modal insan yang mendaya kebolehpasaran dan mampu mendepani cabaran lanskap ekonomi yang semakin kompetitif dan bersaing secara kompetitif hingga ke peringkat global.

Untuk tahun 2022, Yayasan Peneraju sasar melahirkan seramai 8,400 penerima faedah
‘future proof’ baharu melalui 180 program pembangunan dalam lima teras utama iaitu
Peneraju Tunas, Peneraju Skil, Peneraju Profesional, Peneraju Teknologi dan Peneraju
Spesialis.

Kumpulan sasaran penerima faedah termasuk golongan lepasan sekolah sehingga
golongan bekerja dan tidak bekerja, kumpulan B40, M40, luar bandar dan kumpulan
terpinggir. Antara sektor pembiayaan adalah dalam industri automotif, ICT, Kejuruteraan,
Kewangan, Maritim, Minyak & Gas, Pendidikan, Penjagaan Kesihatan, Perakaunan dan
Telekomunikasi.

Yayasan Peneraju juga telah memperkenalkan program khas iaitu PERTIwI yang
memberikan peluang kepada para penerima faedah sedia ada pendedahan dan
pengalaman bekerja di luar negara, serta IMPAK untuk kumpulan sasaran baharu termasuk orang kurang upaya, juvana, pelajar huffaz, wanita B40, tenaga kerja gig, belia NEET (Not in Education, Employment or Training) dan juga pelajar B40 peringkat sekolah rendah di
Sabah, Sarawak dan miskin bandar.

Melalui usaha yang berterusan ini, Yayasan Peneraju berharap lebih ramai modal insan
Bumiputera akan turut serta dan menjadi sebahagian daripada 50,000 penerima faedah
Yayasan Peneraju yang lain.

Yayasan Peneraju akan terus komited dalam memacu dan memperkasa agenda Bumiputera dan sentiasa meneroka peluang untuk meluaskan penawaran program-program dan kumpulan sasaran supaya lebih inklusif selari dengan dasar utama negara seperti RMK-12 serta TPB2030.