AirAsia meraikan dua penerbangan antarabangsa sulung hari ini ke Sarawak selepas dua tahun mengalami sekatan perjalanan berikutan pandemik.
Menteri Pelancongan, Seni Kreatif dan Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mengetuai rombongan acara sambutan itu dengan mengalu-alukan ketibaan pesawat dengan muatan penuh seramai 180 penumpang dalam penerbangan AK 1776 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang tiba pada 3.55 petang hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak Sharzede Salleh Askor.
Awal hari ini di Miri, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato’ Sri Lee Kim Shin menyambut penumpang pesawat AK1758 yang mendarat di Lapangan Terbang Miri pada 11.25 pagi. Para tetamu dalam kedua-dua penerbangan ini disambut dengan meriah di terminal dan pancuran air untuk pesawat ketika mendarat.
Kedua-dua acara sambutan itu dianjurkan bersama oleh AirAsia dan Lembaga Pelancongan Sarawak, dengan sokongan Malaysia Airports.
Dengan kekerapan penerbangan secara harian antara Kuching dan Singapura serta empat kali seminggu untuk laluan Miri dan Singapura, para tetamu kini boleh menikmati promosi tambang sehala termasuk semua di aplikasi airasia Super App daripada serendah RM69 sehala untuk Kuching-Singapura dan RM79 sehala untuk Miri-Singapura.
Tempahan untuk promosi tambang istimewa ini boleh dibuat mulai sekarang sehingga 1 Mei 2022 untuk tempoh perjalanan antara 12 September 2022 dan 25 Mac 2023.
Secara keseluruhan, AirAsia kini mengendalikan 44 buah penerbangan mingguan antara Singapura dengan bandar-bandar dan destinasi popular di Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh, Langkawi, Kota Kinabalu, Kuching dan Miri, dan akan menambah kekerapannya sejajar dengan peningkatan permintaan.
Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Seni Kreatif dan Persembahan Sarawak berkata: “Kami mengalu-alukan penyambungan semula penerbangan AirAsia dari Singapura ke Kuching.
“Setakat ini, kami sudah mengembalikan lebih 90% kekerapan penerbangan kami semasa fasa pra pandemik, dengan laluan baharu ditambah seperti Pulau Pinang ke Kuching dan Singapura ke Miri.
“Saya percaya penyambungan semula penerbangan antarabangsa ini adalah tepat pada masanya untuk para pelancong dan rakyat tempatan di Sarawak, yang tentunya tidak sabar untuk merancang perjalanan dan percutian mereka.
“Selain itu, kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang bakal bermula pada 1 Mei, termasuk tiada keperluan ujian Covid-19 untuk pra-perlepasan dan ketibaan, kelonggaran pemakaian pelitup muka di tempat awam dan daftar masuk melalui MySejahtera seperti yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan baru-baru ini adalah satu perkembangan yang positif untuk aktiviti pelancongan kembali seperti sedia kala.”
Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: “AirAsia berbesar hati untuk menyambung semula penerbangan antarabangsa ke Sarawak, selepas menyambut penerbangan sulung ke Sabah pada dua minggu lalu dan ke Langkawi pada hari ini.
Sarawak ialah pasaran yang amat penting untuk AirAsia. Kuching adalah salah satu hab utama kami di Malaysia di mana enam pesawat A320 kami ditempatkan dan kami menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 500 kakitangan di seluruh Sarawak.
“Kami berharap untuk kembali ke tahap pra-Covid tidak lama lagi, dengan lebih 300 penerbangan domestik dan antarabangsa mingguan ke dan dari Sarawak,” katanya.



































