Maybank Islamic Berhad baru-baru ini melancarkan satu program incubator bakeri bersama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang memanfaatkan 80 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan dengan objektif untuk memperkasakan
mereka dengan kemahiran keusahawanan.
Ini merupakan projek pertama seumpamanya dengan Maybank Islamic menyumbang
sejumlah RM500,000 daripada dana Zakat untuk menyokong program ini, di mana pelajar di peringkat awal, akan diajar latihan asas pengurusan perniagaan termasuk kemahiran membakar, pemasaran, pengurusan kewangan dan kepentingan pensijilan halal.
Fasa seterusnya, pelajar-pelajar ini akan ditugaskan untuk menguruskan kafe, kiosk dan
kedai di sekitar kawasan Nilai.
Pelancaran inkubator bakeri itu disempurnakan oleh Pengerusi USIM Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Nor Shahrizan Sulaiman yang kemudiannya melancarkan program keusahawanan itu.
Program ini disertai oleh 80 orang pelajar asnaf di USIM daripada pelbagai fakulti dari tahun 2 sehingga tahun 3, dan mereka telah berjaya melengkapkan 5 modul secara teori dan praktikal secara intensif serta kini aktif membuat jualan sempena perayaan Aidilfitri dengan menjual pelbagai jenis kuih raya dari sebuah kafe yang dinamakan Genba Bakery, bertempat di Pusat Keusahawanan Pelajar USIM.
Dalam ucapannya, Nor Shahrizan berkata, Maybank Islamic telah menjalinkan kerjasama
dengan USIM sejak 2020 dengan Program Keusahawanan Kemahiran Jahitan di mana bank itu membiayai RM200,000 untuk menampung 20 pelajar daripada golongan berpendapatan rendah.
“Kami percaya dalam memperkasakan kesejahteraan ekonomi pelajar melalui program
praktikal keusahawanan seperti kursus keusahawanan dan kemahiran vokasional seperti ini dapat membantu meningkatkan kemahiran keusahawanan dan taraf ekonomi mereka,
terutama bagi pelajar yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Kami mahu mereka bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran tetapi juga memberi jaminan kehidupan yang lebih selesa selepas tamat pengajian,” katanya.
Katanya, dengan kerjasama terbaharu ini, Maybank Islamic sehingga kini, memperuntukkan sejumlah RM700,000 dana zakat Bank kepada USIM yang memanfaatkan seramai 100 pelajar.