The Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA) hari ini menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) untuk melanjutkan tempoh masa pematuhan piawaian SIRIM bagi peranti vape.
MVIA juga menggesa KPDNHEP menyemak dan kemas kini semula piawaian supaya selaras dengan amalan antarabangsa.
Kenyataan MVIA ini dibuat berikutan langkah KPDNHEP mewartakan Perintah Perihal Dagangan (Pensijilan dan Penandaan) Peranti Rokok Elektronik 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 yang mewajibkan semua peranti vape menjalani ujian dan memohon pensijilan SIRIM selewat-lewatnya pada 3 Ogos 2022.
Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), Rizani Zakaria berkata, “MVIA percaya pengumuman untuk memperkenalkan piawaian untuk peranti vape adalah langkah ke arah yang sewajarnya kerana ia akan melindungi keselamatan pengguna apabila menggunakan peranti vape itu.”
“Bagaimanapun, tempoh masa yang diberikan kepada industri adalah sangat singkat dan tidak munasabah untuk menyelesaikan proses itu. Lazimnya, keseluruhan proses untuk satu produk menjalani proses ujian dan pensijilan produk adalah antara tiga hingga empat bulan tanpa gangguan.
“Selepas proses pensijilan pula, pemain industri kemudiannya perlu menggunakan pelabelan mandatori, yang juga akan mengambil masa.”
“Oleh itu, memandangkan keadaaan ini, kami menyeru Kerajaan untuk memberikan tempoh masa yang lebih panjang sehingga akhir tahun untuk industri diberi masa yang mencukupi untuk bersedia dan mematuhinya.”
Selain daripada itu, MVIA juga berkata terdapat keperluan untuk menyemak dan mengemaskini semula piawaian tersebut.
“Piawaian untuk peranti vape yang diterima pakai dan diwartakan telah dibangunkan pada 2018/2019. Bagaimanapun sejak itu, peranti vape telah berevolusi dan bertambah baik dengan ketara melalui teknologi dan inovasi dalam industri.”
“Melihat kepada landskap ini, kami percaya pihak berkuasa perlu menyemak dan megemaskini semula piawaian dengan cepat. Ini bagi memastikan piawaian yang diterima pakai di Malaysia selaras dengan amalan dan piawaian antarabangsa.”
Selain itu, Rizani turut menggesa Kementerian Kesihatan mengeluarkan garis panduan dan kawalselia segera mengenai kandungan produk cecair vape memandangkan kelewatan dalam membentangkan rang undang-undang di Parlimen bertujuan untuk mengawal selia produk vape.
“Walaupun Kerajaan baru sahaja mewartakan piawaian untuk peranti, tiada peraturan mengenai cecair vape. Kementerian Kesihatan mengumumkan bahawa rang undang-undang akan dibentangkan di Parlimen menjelang Julai tahun ini untuk mengawal selia cecair vape. Sementara itu, produk sedia ada akan terus dijual di pasaran.”
“Dalam hal ini, Kerajaan harus segera mengeluarkan garis panduan dan kawalselia mengenai kandungan untuk cecair vape terutamanya yang mengandungi nikotin, termasuk tahap nikotin yang dibenarkan dan meminda Akta Racun 1952 bagi membolehkan cecair vape nikotin dikawalselia sementara menunggu rang undang-undang baharu daripada Kementerian Kesihatan,” katanya lagi.
Ia adalah supaya keselamatan pengguna vape terus dilindungi kerana pemain vape perlu mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti untuk cecair vape bernikotin. Pada masa yang sama, Kerajaan juga boleh mengutip hasil cukai daripada produk tersebut.