CENDANA atau Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya, dibawah MyCreative Ventures Sdn. Bhd. telah melaksanakan program Seni Untuk Semua, satu inisiatif bagi mendekatkan masyarakat dengan seni budaya.

Program ini lanjutan daripada penganjuran Art In The City 2021 yang membawa seni budaya secara fizikal melalui acara seperti SENSORii, KLWKND dan sebagainya.

Program Seni Untuk Semua diusahakan secara kerjasama dengan RTM bagi memberikan impak yang lebih besar dalam meningkatkan apresiasi terhadap seni di Malaysia.

Program Seni Untuk Semua yang bakal disiarkan di RTM Saluran TV1 pada setiap hari Ahad pukul 9:30 malam bermula 10 April 2022 dan secara atas talian melalui laman portal www.baskl.com.my

Malin _ Helena Foo

Program Seni Untuk Semua memaparkan 16 buah episod yang berdurasi 30 minit dan diacarakan oleh Nazrudin Habibur Rahman, atau lebih dikenali sebagai Abang Naz.

Program ini bakal membawa penonton melalui pelbagai peringkat penghasilan karya langkah demi langkah dengan cara yang sangat menyeronokkan untuk menghasilkan karya seni.

Program yang bakal menampilkan penggiat seni dari sektor-sektor seni yang berbeza ini diharapkan dapat menyemarakkan minat serta meningkatkan kemahiran dalam bidang seni dalam kalangan masyarakat. 

Bagi dalam talian pula, rancangan ini akan menyajikan 50 buah video tutorial seni hasil kurasi 50 orang artis tanah air yang berlainan daripada Seni Untuk Semua di televisyen.

Setiap video tutorial berdurasi 15 minit ini menampilkan langkah demi langkah pembuatan hasil seni oleh artis tersebut. Video tutorial ini merangkumi pelbagai cabang seni seperti seni persembahan, seni visual, muzik dan kraf. 

“Kegiatan seni adalah salah satu aktiviti yang boleh dilakukan bersama sebagai sebuah unit keluarga. Kami berharap melalui rancangan ini, ibu, bapa dan anak-anak dapat bersama-sama melakukan aktiviti ini yang secara tidak langsung membantu perkembangan minda anak-anak mereka.

Selain itu artis-artis yang kami tampilkan juga ialah mereka yang berkemahiran dan berpengalaman dalam bidang seni,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures Sdn. Bhd, Junady Nawawi.

 “RTM sentiasa menyokong program-program yang dapat memberi manfaat kepada penonton. Selaras dengan misi kami di RTM iaitu membina masyarakat bermaklumat melalui perkhidmatan TV, radio dan media digital bagi membangunkan kandungan yang berkualiti, kreatif dan inovatif, kami yakin usahasama antara CENDANA dan RTM melalui program Seni Untuk Semua ini dapat memberi input yang positif kepada penonton,” kata Dato’ Haji Che Roslan bin Che Daud,  Ketua Pengarah Penyiaran RTM.

Sarina Aziz bersama Naz

Program Seni Untuk Semua ini ialah cambahan idea daripada program Artis Di Sekolah anjuran dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan  diperkenalkan pada tahun 2020 dimana artis-artis berpengalaman diberikan peluang untuk ke sekolah-sekolah di sekitar Lembah Klang dan mengajar kelas seni kepada pelajar-pelajar di sekolah tersebut.

Oleh sebab pandemik yang melanda, dan bagi memastikan kelangsungan program ini, program Artis Di Sekolah telah diolah dan disesuaikan sebagai sebuah rancangan televisyen dan rancangan dalam talian.

Antara artis dan aktiviti seni yang bakal ditampilkan dalam program Seni untuk Semua di saluran TV1 ialah Fusion Wayang Kulit yang dikendalikan oleh Pak Dain dan Tintoy Chuo.

“Kami amat berterima kasih kepada CENDANA dan RTM kerana memberi peluang untuk kami menonjolkan suatu seni yang sangat dekat kepada kami. Bengkel wayang kulit kami ini  memberi peluang untuk menyalur ilmu tradisi ini, kepada anak muda, suatu kesinambungan yang sangat berharga.  Ini adalah satu kelainan yang membuat kami terharu. Semoga amalan seni ini terus hidup bersama  penonton Seni Untuk Semua,”  Kata Pak Dain.

“Sebagai seorang penggiat seni yang sudah bergiat aktif dalam bidang ini, saya percaya melalui program-program sebegini kami dapat membantu mendidik seseorang itu dalam perkembangan kemahiran mereka,” kata Sarina Aziz dari Pertubuhan Seni Budaya Tepak Tellaz yang bakal berkongsi Seni Kraf Topeng.

Helena Foo daripada Siapa Theare berkata, “Sejak kecil kita dibesarkan dengan rancangan yang menggunakan boneka seperti Sesame Street dan The Muppets.

“Kami ingin bawakan warna dan gerakan boneka-boneka ini dalan Seni Untuk Semua.” Helena dan rakannya Malin bakal membawa penonton mendalami seni persembahan boneka dalam episode mereka.

Selain seni kraf, persembahan dan seni visual, seni muzik juga antara aspek yang bakal dipertontonkan dalam Seni Untuk Semua ini. Ahmad Haziq Ramli yang merupakan pemain dan pengajar dram merasakan pembelajaran muzik itu boleh dilakukan dimana-mana.

“Jika dahulu kita mempelajari muzik di sekolah melalui subjek muzik atau di sekolah muzik, kini kita dapat mempelajari muzik dimana-mana sahaja seperti di internet melalui telefon dan platform digital. Dengan adanya pendedahan sebegini, diharapkan lebih ramai anak muda yang cenderung untuk lebih mendekati bidang ini.”

Seni Untuk Semua disokong melalui Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) iaitu sebuah inisiatif yang pelbagai untuk memulihkan industri kreatif termasuk juga seni & budaya, sementara Seni Untuk Semua Di Atas Talian disokong oleh Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, yang ditadbir dan diurus oleh MyCreative Ventures dan CENDANA.