Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), telah menamakan YB Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad sebagai Pengerusi Lembaga
Pemegang Amanah (BOT), berkuat kuasa 31 Mac 2022.

Agensi yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembinaan kapasiti ke arah kelestarian bakat Bumiputera itu berkata, pelantikan Dr Abdul Latiff dijangka mampu merangsang dan memacu aspirasi Yayasan Peneraju dalam memupuk dan membangunkan
modal insan serta meningkatkan daya saing mereka dalam pelbagai sektor.

Selain Yayasan Peneraju, Dr Abdul Latiff yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), turut mempengerusikan badan kerajaan lain di bawah portfolionya, termasuk Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi
Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Kesihatan (2004-2010), Timbalan Menteri Pertahanan (2010-2013), Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dari 2013-2019 dan yang terkini Menteri di Kementerian
Pembangunan Luar Bandar.

Dr Abdul Latiff turut menyokong inisiatif Train & Place di mana beliau percaya program sedemikian mampu menangani isu kebolehpasaran terutamanya dalam kalangan graduan baharu, belia dan kumpulan terpinggir.

Inisiatif Train & Place, yang merupakan sebahagian daripada strategi penting untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan meminimumkan
pengangguran, menawarkan pembiayaan penuh dan jaminan pekerjaan di syarikat Malaysia untuk para graduan.

Justeru, Dr Abdul Latiff akan berterusan mencari peluang kerjasama untuk Yayasan Peneraju dengan pemain industri, penyedia latihan berpotensi dan pihak berkepentingan lain untuk memastikan program yang ditawarkan berkualiti tinggi, relevan dan akan meningkatkan
kebolehpasaran penerima faedah mereka.

Ahli Lembaga Pengarah lain termasuk Timbalan Pengerusi, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Ghafar Mahmud, mantan Ketua Pengarah Pendidikan dan Pengerusi Yayasan Sarana Pendidikan Malaysia, dan Datuk Yasmin Mahmood, Pengerusi Heriot-Watt University Malaysia dan
Skymind Holdings Bhd.