Bulan ramadan adalah bulan kebajikan. Bulan yang penuh berkat dan
Rahmat.

Ramadan mengingatkan kita akan kesusahan dan kelaparan yang dialami orang miskin. Ia juga membawa kesedaran kepada kita akan keperitan hidup mereka yang memerlukan.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, program bantuan makanan di bulan ramadan tetap diteruskan di Kemboja dan sumbangan para penderma dimanfaatkan dengan sebaik mungkin sebagaimana perancangan, ujar Dato’ Dr Mustapha Ahmad Marican yang merupakan Pengerusi NGO Antarabangsa.

Menurutnya, agihan keperluan makanan ini dibuat di Mondokiri, iaitu kawasan pergunungan di antara sempadan Kemboja Vietnam yang mengambil masa kira-kira 8 jam perjalanan dari pusat bandar.

Sumbangan keperluan makanan asas seperti seguni beras, gula, minyak masak, tin sardin, tepung, teh, minuman oren, makanan ringan dan sebagainya adalah untuk diberikan kepada fakir miskin, mualaf, ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim yang melibatkan lebih kurang 40 buah kampung.

Mustapha berkata, walaupun cuaca yang panas kering di Kemboja, mengharungi perjalanan yang sukar ianya tidak mematahkan semangat malah apabila melihat wajah-wajah mereka yang menerima sumbangan tersenyum, segala kepenatan itu hilang.

Beliau juga bersyukur, kerana urusan mengagihkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan berjalan dengan lancar.

Selain dari mengagihkan keperluan makanan, Mustapha turut menyumbangkan pakaian Raya kepada anak-anak yatim dan fakir miskin yang daif.

Mustapha juga turut mengambil kesempatan mengadakan majlis berbuka puasa di dua buah masjid dalam kawasan yang berlainan dan juga melawat masjid dan sekolah tahfiz yang masih belum siap sepenuhnya disebabkan faktor kewangan yang tidak mencukupi.

“Kampung terakhir yang kita hantar sumbangan ialah di kawasan Tbungkhmun, Steam, Cambodia. Hampir 1,000 orang fakir miskin, mualaf, ibu tunggal, anak-anak yatim menerima sumbangan ini.

“Bulan Ramadhan yang suci ini amat menggalakkan amalan bersedekah di kalangan umatnya dan akan diberi ganjaran istimewa melebihi bulan-bulan lain.

“Saya dan keluarga doakan semoga Ramadan kali ini membawa lebih erti, memberi seribu rahmat dan pahala buat kita semua. Selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua umat Islam,” katanya lagi.

Sementara itu, Mustapha turut melawat rumah anak yatim piatu Musa Yohut, 32, yang buta kedua belah mata akibat kemalangan ketika menggunakan mesin rumput baru baru ini.

Beliau berkata, anak sulung yang menjadi tulang belakang kepada keluarga miskin ini tinggal di Kampung Steam Tbaung Khomun tinggal bersama isteri Hasbah dan dua anak iaitu Nazirah, 13, dan Zaini, 3 tahun.

Selain buta mata, rumah didiami rumah yg didiami oleh Musa juga rosak teruk dan memerlukan bantuan kira-kira US4 ribu dollar bagi tujuan baik pulih dan NGO Antarabangsa berharap ada penderma dari Malaysia yang sudi menderma bagi tujuan murni ini.