Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) menyambut baik saranan YAB Perdana Menteri supaya memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan negara dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya berkaitan keperluan pembangunan dan peningkatan kemahiran dan kebolehpasaran tenaga kerja.
Usaha dan tumpuan kerajaan dalam pembangunan modal insan ini disokong dalam pembentangan bajet 2022 apabila kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion untuk
tujuan pendidikan termasuk pemerkasaan TVET.
Menurut Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju, Kol Bersekutu (PA) Ts. Dr Mohd Muzzammil
Ismail, Yayasan Peneraju sememangnya telah menyediakan program latihan TVET sejak
penubuhannya 10 tahun lalu.
Objektif program-program ini adalah untuk menyumbang kepada peningkatan bilangan Bumiputera yang memiliki pensijilan kemahiran tinggi yang diiktiraf di peringkat industri dan antarabangsa seterusnya mencapai sasaran negara untuk meningkatkan bilangan tenaga kerja berkemahiran tinggi tempatan.
Sejak tahun 2020, Yayasan Peneraju meluaskan lagi penawaran program TVET yang mempunyai elemen kebolehpasaran dan kebolehgajian kepada golongan bekerja & tidak bekerja – ini termasuk graduan-graduan baru, siswazah menganggur, mereka yang kehilangan pekerjaan, ataupun mereka yang ingin meningkatkan kemahiran ‘upskill’ atau mempertingkatkan kemahiran ‘reskill’ ke tahap yang lebih tinggi.
Yayasan Peneraju bekerjasama rapat dengan lebih 100 pemain industri, rakan-rakan
program, penyedia latihan dan pihak berkepentingan yang lain bagi memastikan lebih 370
program yang ditawarkan berkualiti, relevan dan meningkatkan kadar kebolehpasaran
penerima faedahnya.
Selain itu, penempatan pekerjaan menjadi keutamaan Yayasan Peneraju dengan pendekatan Train “Place ataupun Place Train’ untuk memastikan mereka memperoleh pekerjaan setelah tamat program.
“Kami sedang merangka beberapa program berimpak tinggi di dalam sektor automotif,
aeroangkasa, sumber tenaga baru (seperti solar), telekomunikasi (fiber optik), elektrikal
(wireman & chargeman), kereta api dan sebagainya bagi membolehkan lebih ramai lagi
peserta menyertai program kami.
“Aspirasi kami adalah untuk menjadi pemain utama dalam melahirkan modal insan yang
serba boleh, berkemahiran tinggi dan berdaya saing bagi menyumbang kepada sosio-
ekonomi negara kita.
“Bagi kami, usaha dalam membangunkan modal insan penting dan perlu diteruskan agar Bumiputera mampu bersaing dalam pasaran kerja yang menawarkan peluang pekerjaan yang bernilai dan berimpak tinggi”, kata Mohd Muzzammil.
Setakat ini, 19,135 graduan baru, tenaga kerja sedia ada, belia keciciran & penganggur
diberi latihan TVET re-skilling & upskilling dalam sektor berpendapatan tinggi. 2,460 pelajar
lepasan SPM sehingga individu bekerja dilatih untuk pengiktirafan pensijilan profesional
dalam bidang ICT & MRO Aeroangkasa.
Antara cabang kerjaya yang ditawarkan adalah Specialist In CAD/CAM, System Integration
in Automation & Robotics, Dynamic Positioning Officer, Scaffolding Level 3, Welding
Inspector Level 1 & 2 dan Drone Certification Training di dalam sektor perkilangan, minyak & gas, pembuatan, maritim dan lain-lain.
Para peserta yang mengikuti program ini akan menjalani latihan di lokasi terpilih di seluruh Malaysia termasuk Kedah, Perak, Selangor, Johor, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Melalui usaha yang berterusan ini, Yayasan Peneraju berharap lebih ramai modal insan Bumiputera akan turut serta dan menjadi sebahagian daripada lebih 46,000 penerima
faedah Yayasan Peneraju yang lain.
Yayasan Peneraju akan terus komited dalam memacu dan memperkasa agenda Bumiputera dan sentiasa meneroka peluang untuk meluaskan penawaran program-program dan kumpulan sasaran supaya lebih inklusif selari dengan dasar utama negara seperti RMK-12 serta TPB2030.