Aurelius Technologies Berhad (ATech), penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) bagi produk-produk elektronik industri bakal menjana RM104.73 juta dari tawaran awam permulaan (IPO) berikutan pelancaran prospektusnya hari ini.

IPO tersebut merangkumi 103.87 juta saham biasa termasuk penerbitan awam sebanyak 77.01 juta saham dan tawaran untuk jualan sehingga 26.86 juta saham. Tawaran institusi pula adalah sehingga 80.96 juta saham mewakili 22.60% saham terbitan yang dibesarkan.

Tawaran runcit pula adalah sehingga 22.91 juta saham, mewakili 6.40% daripada saham terbitan yang dibesarkan, akan ditawarkan pada harga runcit RM1.36 sesaham.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Lee Chong Yow

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif ATech, Lee Chong Yeow, berkata syarikat mengunjur untuk meraih hasil daripada IPO sebanyak RM104.73 juta, yang mana RM40 juta akan digunakan bagi membeli mesin dan peralatan baharu, RM29.52 juta bagi pembayaran balik pinjaman, RM28.13 juta bagi modal kerja dan RM7.08 juta bagi perbelanjaan penyenaraian.

“IPO kami ini akan membolehkan syarikat menyegerakan pelaksanaan perancangan kami untuk berkembang, mengukuh dan menggunakan sebaiknya kecekapan teras kami di dalam menyediakan EMS bagi produk-produk elektronik industri selain terus meluaskan perniagaan ke dalam pengeluaran modul IoT yang kami telah tawarkan pada awal 2020.’’ katanya selepas pelancaran IPO ATech di sini, hari ini.

ATech menawarkan pilihan EMS yang menyeluruh kepada syarikat multinasional di 11 negara meliputi Asia Pasifik, benua Amerika dan Eropah.

Perkhidmatan-perkhidmatan tersebut merangkumi perkhidmatan sokongan kejuruteraan, prototaip, pemasangan papan (board), pemasangan mekanikal dan ujian bagi peranti komunikasi, peranti Internet Benda (IoT), peranti elektronik dan modul komponen semikonduktor diguna oleh industri telekomunikasi, pengangkutan, pengurusan tenaga dan IoT.

Dengan rekod prestasi selama 28 tahun, ATech telah membina perniagaan berasaskan perkongsian jangka panjang dengan pelanggan. Semua lima pelanggan utama syarikat merupakan firma asing atau subsidiari kepada firma Amerika Syarikat yang tersenarai awam.

Mengulas lanjut Chong Yeow berkata, saham-saham ini akan diperuntukkan seperti berikut iaitu 44.77 juta saham IPO mewakili 12.50 peratus daripada saham terbitan dibesarkan kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Manakala sehingga 36.19 juta saham IPO mewakili 10.10 peratus saham terbitan dibesarkan untuk institusi Malaysia dan pelabur terpilih.

Untuk tawaran runcit pula ia merangkumi lima juta saham terbitan mewakili 1.40 peratus daripada saham terbitan dibesarkan untuk para pengarah, kakitangan yang layak dan individu yang menyumbang kepada syarikat dan 17.91 juta saham terbitan mewakili lima peratus daripada saham terbitan dibesarkan diperuntuk untuk orang awam Malaysia menerusi cabutan undi.

Maybank Investment Bank Berhad, yang merupakan sebahagian daripada Maybank Kim Eng Group, adalah Penasihat Prinsipal, Penaja Jamin Utama dan Penaja Jamin Tunggal.