Pembuat kenderaan nasional PROTON hari ini telah melancarkan galeri jenama baharunya. Dijenamakan sebagai “Gallery of Inspiration” (Galeri Inspirasi) dan terletak di kompleks
Centre of Excellence, ia merupakan langkan seterusnya didalam perjalanan penjenamaan semula syarikat yang bermula pada tahun 2019.

Galeri ini akan dibuka kepada orang awam pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8.30am – 5.30pm.

Terbahagi kepada beberapa zon, Galeri Inspirasi mempamerkan sejarah PROTON, keterlibatan mereka yang berkait secara langsung dengan industri automotif Malaysia, rangkaian domestik dan antarabangsa, serta teknologi masa kini dan masa hadapan yang dipersembahkan secara tersusun dan menggunapakai teknologi seperti “virtual reality” (VR) dan “augmented reality” (AR) untuk memberikan pengalaman yang menakjubkan.

Ia turut menampilkan outlet “Proton Café” yang pertama dan koleksi model kereta bersejarah Proton untuk tatapan peminat dan kebanyakan pelawat.

“Sebagai pembuat kereta pertama di negara ini, sejarah PROTON dan automotif di Malaysia adalah saling berkait rapat. Kami telah banyak mencapai kejayaan serta memperkenalkan pelbagai inovasi saban tahun maka perjalanan tersebut dengan bangganya dipamer dan dikongsikan di Galeri Inspirasi tersebut.

Dalam masa yang sama, produk kami telah berkembang dengan pantas beberapa tahun kebelakangan ini, jadi kami ingin mengambil kesempatan tersebut untuk menunjukkan kepada pembeli apa yang akan ditawarkan pada masa hadapan dan apa yang mereka boleh jangkakan dari PROTON,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif,
Proton Edar.