Lima (5) penerima faedah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) berjaya diterima sebagai akauntan pelatih di Flemmings Chartered Accountant and Registered Auditors (Flemmings), United Kingdom yang berpusat di Croydon, Selatan London.

Calon yang berjaya terdiri daripada ACCA Affiliates dari program profesional perakaunan Yayasan Peneraju yang telah ditawarkan kontrak selama tiga (3) tahun dengan peluang lanjutan kontrak dan akan memperoleh tahap latihan dan kepakaran yang sama untuk menjadi ahli ACA berdasarkan kelayakan.

Sebelum mendapat tawaran itu, kelima-lima calon yang berjaya ini bersama-sama dengan 18 pemohon lain dikehendaki melalui temuduga peringkat pertama yang merupakan pengenalan diri antara calon dan pihak Flemmings UK, sebelum terpilih untuk ke peringkat kedua dan akhirnya berjaya.

Calon dipilih berdasarkan kriteria pemilihan yang teliti dan telus, serta melalui ujian
perakaunan dan kewangan selama 2 hari untuk membuktikan kelayakan dan kemampuan mereka.

Calon yang berjaya adalah Muhammad Faris Fakhrullah bin Mohd, 23, Muhammad Hazeem Aiman Ismadi 22 tahun, A’liah Azizi, 22 tahun, Muhammad Amirul Syahmie Shuhaimie, 24 tahun dan Muhammmad Azib Bahrin, 22 tahun.

Mereka telah berangkat ke London pada 7 Oktober untuk melapor diri dengan segera.
Inisiatif ini adalah hasil kerjasama bersama Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS) di bawah projek perintis iaitu Program Peneraju Profesional Training Initiative with Industry (Peneraju PERTIwI), yang merupakan lanjutan dari program pengembangan kapasiti Yayasan Peneraju untuk memberi peluang kepada penerima faedah program perakaunan profesional yang berminat dan berkelayakan untuk mendapat pendedahan dan pengalaman bekerja di luar negara.

Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Ttugas Khas)
yang menerajui Yayasan Peneraju berkata, program Peneraju PERTIwI adalah peluang
keemasan bagi para penerima faedah ini, melihatkan kepada jenis pendedahan yang bakal mereka perolehi di luar negara.

Selain daripada itu, program ini akan turut menilai tahap daya saing dan kebolehan mereka di pasaran global terutamanya dari segi pengetahuan teknikal sebagai pekerja profesional.

“Kejayaan ini melengkapi pelbagai pencapaian membanggakan yang diraih oleh Yayasan Peneraju dan kami berharap apabila mereka kembali ke Malaysia kelak, mereka dapat berkongsi pengalaman berharga yang mereka peroleh di Flemmings dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” tambahnya.

Kolonel Bersekutu (PA) Ts Mohd Muzzammil Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan
Peneraju berkata, “Kami terus komited pada misi kami untuk merealisasi aspirasi modal insan Bumiputera dan menjadi pemangkin kepada peningkatan kapasiti Bumiputera dan perubahan minda ke arah penciptaan komuniti yang berdaya saing di peringkat global.

Oleh itu, kami berusaha untuk mewujudkan peluang dan meneroka jalan bagi membolehkan penerima faedah kami berkembang di Malaysia dan luar negara. Program Peneraju PERTIwI sangat penting kerana ia memberi mereka peluang untuk mendapat pendedahan berharga tentang kehidupan dan pengalaman bekerja di luar negara.

Ia juga akan menguji pelbagai kemahiran insaniah yang mereka perolehi sepanjang mengikuti Program Pemupukan dan Pembangunan (NDP) berterusan yang kami sediakan”.

Yayasan Peneraju adalah inisiatif yang memfokuskan kepada pembinaan dan pengukuhan keupayaan bakat Bumiputera ke arah kelestarian yang lebih besar.

Yayasan Peneraju diberi mandat untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat Bumiputera dalam ekonomi berpendapatan tinggi melalui pendidikan akademik, pensijilan TVET, profesional, teknologi dan spesialis.

Agensi ini telah merealisasi aspirasi lebih 40,000 penerima faedah dari seluruh Malaysia melalui 350 program pembiayaannya, dengan pengagihan peruntukan sebanyak RM860.7 juta dalam tempoh sembilan tahun.