Patuh syariah, selesa dan murah, tiga elemen penting mengapa orang ramai perlu beralih tumpuan, sekaligus memilih Grocer Mat, Prima Sri Gombak sebagai lubuk membeli barangan basah! 

Berani hadir di saat pemulihan negara yang kini dalam fasa Endemik  COVID-19, pasaraya 100 peratus pemilikan Bumiputera ini menawarkan premis yang luas serta suasana berbelanja yang selesa dengan tawaran harga jauh lebih murah setanding pasar borong.

Dimiliki oleh Fathiri Fadzlah Holdings Sdn Bhd, pengasas Grocer Mat, Dato’ Fathiri Fadzlah, 43, berkata, langkah berani yang diambilnya ini bukanlah secara semberono tetapi berdasarkan ilmu, kecekalan serta pengalaman yang sudah terlebih dahulu ditempuh ketika beliau mempelopori pelbagai cabang perniagaan sebelum ini termasuklah bidang pendidikan, pelancongan, logistik, perlombongan dan produk.

Berasal dari keluarga pendidik, usahawan Bumiputra yang juga merupakan lulusan dari salah sebuah institusi pendidikan guru ini berkata, setiap kejayaan yang pernah ditempa adalah hasil dari dorongan kedua orang ibu bapanya yang tidak cuma mementingkan soal keuntungan semata dalam berniaga tetapi juga kebajikan yang boleh memberi manfaat kepada agama dan anak bangsa.

Grocer Mat yang bertempat di Sri Gombak dan bakal beroperasi sepenuhnya bermula 29 September ini bakal menyediakan lebih dari 80 jenis sayuran segar dan sebanyak 40 jenis bagi barangan basah, seperti ikan dengan tawaran harga yang tidak mampu didapatkan di mana mana pun.

Fathiri turut menekankan antara sebab Grocer Mat mampu menjual dengan harga murah ialah dengan membuat pembelian secara pukal dari pembekal.

“Perlu ada kepercayaan dan persefahaman yang jelas dengan pembekal, yakni mereka perlu tahu akan matlamat dan pelan jangka panjang sesebuah pasaraya.

“Misalnya memberikan harga lebih rendah bagi pasaraya yang membeli dengan kuantiti yang besar dan secara berterusan. Sasaran jangka panjang saya ialah untuk memperbanyakkan lagi pasaraya Grocer Mat hingga ke 2,000 cawangan menjelang 2025. Cawangan seterusnya akan dibuka pada bulan Disember tahun ini di Bandar Seri Putra, Bangi Kajang

“Apabila sudah berada di tahap itu, Grocer Mat secara tidak langsung dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk orang ramai dan yang lebih utama, membantu menjana ekonomi anak bangsa.

“Seiring berjalannya waktu, antara impian lain saya untuk Grocer Mat ialah agar ianya dapat berkembang pesat hingga mampu menyediakan peluang pelesenan bagi mereka yang berminat membuka rangkaian Grocer Mat dengan modal yang berpatutan

“Kepada usahawan yang ingin menceburi perniagaan bersama Grocer Mat, mereka hanya perlu mengeluarkan kos untuk menyediakan premis manakala pihak Grocer Mat akan menyediakan barangan jualan secara pinjaman.

“Jika tidak, pengusaha bukan saja menanggung kos sewa dan pengubahsuaian kedai, malahan mereka terpaksa membayar secara tunai barang jualan yang tinggi kepada pembekal,” katanya.

Menyasarkan dua golongan pembeli iaitu mereka yang membeli untuk keperluan rumah, restoran, peniaga kecil-kecilan dan juga pelanggan yang datang dengan niat untuk berniaga. Golongan ke dua ini boleh menjalankan perniagaan mereka dengan margin atau batas keuntungan yang tinggi , barangan segar dan halal.

Sentiasa menerapkan nilai kebaikan serta kebajikan yang dicontohi daripada arwah bapa beliau dalam mejalankan sesuatu perkara, Fathiri turut menyimpan hasrat untuk membantu pengusaha Bumiputra makanan sejuk beku dengan cara menyediakan tempat penyimpanan di tingkat 3 premis Grocer Mat sebagai tanda sokongan kepada pengusaha kecil kecilan di Malaysia. 

Grocer Mat akan terus memainkan peranannya dalam membantu usahawan Bumiputera dimana tidak hanya bertumpu kepada usaha menyediakan peluang perniagaan bahkan memberi fokus kepada pembangunan usahawan.

Masyarakat terutamanya yang beragama Islam pastinya maklum berniaga sambil beramal jariah merupakan amalan yang amat digalakkan. 

Fathiri berkata “Bekalan baru dijangkakan sampai setiap  hari, dalam masa yang sama, Grocer Mat bercadang untuk mengadakan jualan lelong seperti ‘Infaq Jumaat  atau Crazy Sunday’ untuk memberi peluang ramai membeli barangan basah dengan harga yang murah kerana kita tahu makanan laut bukannya murah. 

“Ini juga cara kita untuk menambah bekalan baru setiap sehari atau dua hari sekali memandangkan kesegaran barangan basah hanya mampu bertahan 3 ke 4 hari sahaja. Barangan basah dan segar seperti sayur sayuran juga boleh disedekahkan pada rumah rumah golongan asnaf dan golongan tua yang memerlukan,” katanya.

Sempena pembukaan Grocer Mat pada 29 September 2021, sebanyak 1,000 ekor ayam segar akan diberikan secara percuma dengan pembelian minimum RM30. Kempen ini berlangsung sehingga 1 Oktober 2021.