Selepas kejayaan memperkenalkan generasi pertama dan kedua telefon pintar boleh lipat premium menerusi Galaxy Z Fold2 tahun lalu, Samsung pada tahun ini mempertaruhkan peranti generasi ketiga baharu yang lebih lasak.

Galaxy Z Fold3 5G kali ini tampil dengan saiz yang lebih kemas, berbanding model sebelumnya dengan beberapa perubahan baharu yang penuh inovasi dengan fungsi dua dalam satu sebagai sebuah phablet (tablet) dan telefon pintar.

Peranti terbaharu ini dihasilkan menerusi gabungan penambahbaikan utama seperti yang diminta oleh pengguna telefon pintar boleh lipat Samsung, menjadikannya lebih tahan lasak dengan pengalaman yang lebih optimum daripada rekaan sebelumnya.

Dari reka bentuk ikonik hingga ke hiburan yang mengasyikkan, Z Fold3 menawarkan kepada pengguna cara baharu yang unik untuk bekerja, menonton dan bermain.

Bagi mereka yang memerlukan peranti utama untuk produktiviti dan hiburan yang mempesonakan, Z Fold3 adalah pusat kuasa multi-tugas sebenar dengan prestasi pada tahap lebih baik, Paparan Infinity Flex 7.6-inci tanpa gangguan, dan mempunyai sokongan S Pen 2 yang pertama kali buat peranti boleh lipat.

Prebiu.com kali ini diberikan peluang menguji peranti terbaharu ini selepas beberapa hari pelancarannya dapat merasakan kelainan dan perbezaan berbanding generasi terdahulu khususnya skrin hadapan yang lebih besar serta saiz yang mesra digenggam.

Galaxy Z Fold3 adalah lebih ringan jika dibandingkan dengan Z Fold2 dengan berat hanya 271 gram.

Ciri Utama

Tentu sekali perkara pertama yang menjadi tumpuan ialah saiz skrinnya yang besar iaitu 7.6 inci Dynamic AMOLED 2X dengan kadar segar semula 120Hz adaptif. Manakala skrin luar sebesar 6.2 inci Dynamic AMOLED 2X yang lebih tinggi dari lebar.

Kelebihan pada peranti ini ialah anda tidak perlu membuka skrin besar untuk membaca mesej atau menggunakan waze untuk memandu tetapi segalanya boleh dilakukan pada skrin hadapan dengan mudah.

Meskipun kesan lipatan masih dapat dilihat dengan jelas apabila lipatan ini dibuka namun ia sebenarnya tidak timbul sebarang isu kerana fungsi sebenar peranti ini ialah untuk memudahkan kerja anda tanpa perlu membawa tablet atau laptop yang besar.

Lebih menarik apabila buat pertama kalinya, Samsung Z Fold3 memperkenalkan penggunaan teknologi kamera bawah skrin (UDC) yang dapat menyorokkan kamera khususnya apabila mahu menonton video kegemaran pada skrin yang besar.

Kandungan resolusi tinggi pada skrin menjadikan imej kelihatan hidup dan cantik apatah lagi bagi anda yang gemar berkongsi cerita atau gambar di media sosial disebabkan kepuasan memiliki saiz skrin besar.

Rekaan yang lebih lasak

Pengguna Samsung mengharapkan peranti boleh lipat yang direka dapat bertahan lama. Oleh sebab itu peranti generasi Galaxy Z ini dibina dengan rekaan yang tiada tandingan.

Buat pertama kalinya pada telefon pintar boleh lipat, Z Fold3 dilengkapi dengan IPX8 menjadikannya rintang air, jadi pengguna tidak perlu lagi bimbang jika terperangkap dalam hujan atau tiba-tiba terkena percikan air di kolam renang.

Peranti ini boleh bertahan di dalam air sehingga 30 minit dan kedalaman sehingga 1.5 meter tanpa masalah.

Paling mengujakan apabila peranti ini dibina dengan bahan Armor Aluminium baharu iaitu aluminium terkuat yang pernah digunakan pada telefon pintar Galaxy serta Corning® Gorilla® Glass Victus™ yang paling utuh untuk melindunginya daripada calar dan jika ia terjatuh tanpa sengaja.

Selain itu, peranti ini mempunyai filem pelindung baharu diperbuat daripada PET 5 yang boleh regang dan lapisan panel paparan yang dioptimumkan menjadikan Skrin Utama 80% lebih tahan lama berbanding peranti sebelumnya.

Samsung meneruskan legasinya dalam menerajui peranti boleh lipat dengan proses yang sangat rapi dan teliti untuk mencipta peranti yang boleh dipercayai dan mampu mengekalkan prestasinya walaupun selepas beberapa tahun digunakan.

Z Fold3 juga menjalani ujian lipatan yang sukar, disahkan oleh Bureau Veritas, untuk menahan lipatan sebanyak 200,000 kali. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan 5nm
AP yang terbaharu dan keserasian jalur 5G untuk pengalaman terbaik di dalam dan luar.

Ciri S Pen

Selain kemampuan kalis air untuk julung kalinya, sokongan S Pen juga diberikan sekali bagi mengubati kerinduan penungguan siri Note. Sokongan stylus yang diberikan adalah setanding seperti pada siri Note.

Namun begitu anda perlu membeli S Pen Pro yang hadir dengan sokongan bluetooth. Sokongan gestur dan kawalan tambahan hanya boleh dinikmati pada S Pen Pro.

Bagaimanapun, sokongan S Pen tidak diberikan pada skrin luar dan S Pen tidak disimpan secara terbina pada peranti Z Fold3 ini tetapi anda boleh membeli kerangka khas secara berasingan yang boleh menyimpan S Pen.

Sesuai Untuk Kerja

Pengalaman menguji peranti ini apabila membuka lipatan Z Fold3 untuk tenggelam dalam pengalaman menghiburkan seperti menonton teater dan terus asyik menonton kandungan kegemaran anda pada Paparan Infinity Flex 7.6-inci tanpa gangguan, hasil teknologi kamera paparan bawah yang terbaharu.

Dengan piksel minimum yang diaplikasikan di atas lubang kamera, Z Fold3 memaparkan kawasan tontonan tambahan agar pengguna mendapat kanvas yang tidak terputus untuk aplikasi kegemaran mereka.

Dengan teknologi paparan Eco² terbaharu yang diterapkan pada skrin, ia 29% lebih cerah dan hanya menggunakan sedikit tenaga. Alami pengalaman menatal yang lebih lancar dan interaksi peranti lebih pantas dengan kadar segar semula adaptif Super Smooth 120Hz pada kedua-dua Skrin Utama dan Penutup.

Pada Skrin Utama Z Fold3 yang besar, ia lebih mudah untuk pengguna mencatat nota semasa membuat panggilan video atau menyemak senarai tugasan sambil membaca e-mel, dan Z Fold3 juga dapat meningkatkan kreativiti dan produktiviti mereka dengan menggunakan S Pen.

Bagi mereka yang mementingkan produktiviti juga akan menikmati ciri-ciri mod Flex yang dipertingkatkan pada Z Fold3, yang membolehkan anda melakukan lebih banyak perkara dalam satu masa sekaligus, seperti melakukan panggilan video pada bahagian atas skrin peranti sambil memeriksa nota mesyuarat di bahagian bawah.

Dengan Multi-Active Window 12 yang diperbaharui pada Z Fold3, ia lebih mudah untuk melakukan rancangan makan malam melalui teks sambil memeriksa jadual kalendar anda, semuanya dilakukan pada skrin besar peranti.

Pengguna juga boleh mengambil jalan pintas dan membuka semula aplikasi dengan cara yang sama hasil penambahbaikan App Pair. Di samping itu, mereka juga dapat menggunakan Taskbar 13 baharu Z Fold3 untuk menukar aplikasi dengan cepat tanpa perlu kembali ke layar Utama.

Z Fold3 dibina dengan reka bentuk yang berkilat, nipis dan lebih ringan untuk lebih mudah dibawa daripada Galaxy Z Fold2. Ia hadir dengan tiga pilihan warna klasik: Phantom Black, Phantom Green, dan Phantom Silver.

Sementara itu dua kekisi audio stereo diletakkan pada bahagian atas dan bawah peranti. Speaker adalah cukup besar dengan sokongan audio Dolby Atmos menghasilkan bunyi seakan sebuah radio mini.

Kamera 

Dari segi spesifikasi pula, pemproses Qualcomm Snapdragon 888 dipadankan dengan memori 12GB LPDDR5 RAM dan storan sehingga 512GB.

Pengguna di Malaysia tidak perlu risau wujud dua versi berbeza di pasaran seperti siri Galaxy S. Ini ialah cip yang kedua paling berkuasa di pasaran untuk platform Android tahun ini.

Dipadankan dengan kamera utama dan luar yang spesifikasinya tidak berubah dari tahun lalu. Kamera 12+12+12 megapiksel (MP) di luar dengan lensa sudut lebar, ultra sudut lebar dan telefoto 2X optikal iaitu ciri maksimum 10x zoom dengan kamera hadapan 10MP.

Tiada perubahan besar pada spesifikasi kamera cuma bonggol tahun ini lebih rendah berbanding tahun lalu namun sedikit terganggu apabila peranti ini diletakkan ditempat yang rata seperti di atas meja.

Samsung memberikan tumpuan yang lebih banyak pada perisian tahun ini dengan sokongan lebih banyak aplikasi pihak ketiga. Pengguna boleh membuka pautan dalam Samsung Internet pada skrin kedua menerusi mod multi-view.

Aplikasi yang tidak direka khusus untuk Z Fold3 boleh dipaksa untuk menyokong Flex Mode sekarang. Isu kekurangan aplikasi diselesaikan dengan cukup mudah.

Ini menjadikan Z Fold3 berfungsi seperti sebuah komputer desktop DeX, macOS dan Windows 11. Bagi mereka yang gemar melakukan multi-tugas ini ciri yang perlu di aktifkan pada hari pertama pembelian kerana mempercepat dan mempermudahkan penggunaan pelbagai aplikasi serentak.

Hasil gambar daripada kamera peranti ini cukup tajam dan memuaskan. Lihat sahaja rakaman gambar yang diambil menggunakan peranti ini. masih tajam tanpa masa pasca proses yang lambat sehingga memanaskan peranti.

Kelebihan pada peranti ini menyaksikan semua ciri kamera dipadankan termasuk ciri Director’s View manakala hasil daripada rakaman menggunakan video juga tidak mengecewakan.

Gambar swafoto dari kamera swafoto 10MP di luar adalah tajam, jelas dan mempunyai warna yang lebih hidup.

Bateri

Dengan saiz bateri 4400 mAh dipadankan dengan skrin 7.6″ 120Hz dan skrin sekunder 6.2″ 120Hz adalah kombinasi dianggap tidak sepadan kerana kapasiti bateri adalah lebih kecil berbanding Galaxy S21 Ultra dengan 5000 mAh.

Jangka hayat tahap baterinya dapat dirasakan menurun secara perlahan apabila video daripada laman YouTube dimainkan secara berterusan dan mungkin dapat diatasi  dengan teknologi bateri yang membolehkan kapasiti lebih besar dimampatkan ke dalam bateri dengan saiz fizikal yang lebih kecil.

Penggunaan sistem pengecasan yang 25W yang juga tidak begitu besar juga sedikit mengecewakan. Bateri boleh dicas semula dari sifar ke 100% dalam masa 80 minit.

Kesimpulan

Pada tanda harga RM6,699, Samsung Galaxy Z Fold3 dilihat sebagai sebuah peranti yang mahal dan premium.

Bagaimanapun, pengenalan peranti ini tentu sekali memiliki golongan sasaran khususnya mereka yang sering bergerak dan memerlukan peranti yang memudahkan tugas harian seperti melakukan pembentangan projek, meneliti dokumen yang memerlukan semakan segera.

Ini kerana peranti ini boleh berubah menjadi tablet sekelip mata dengan ciri akses kepada dekstop, sistem multi skrin dengan tiga aplikasi serentak dalam satu skrin.

Z Fold3 ialah peranti yang direka khusus untuk anda yang sememangnya memerlukan skrin besar untuk menjalankan tugas harian dengan saiz yang mampu dibawa dalam kocek seluar ataupun beg tangan bagi golongan wanita bekerjaya dan sentiasa sibuk.

Peranti yang diuji kali ini memiliki storan sebesar 256 GB manakala RAM 12GB sudah cukup memadai untuk menyimpan beribu-ribu gambar atau dokumen yang diperlukan dengan mudah.

Bagi mereka yang gemar bermain game, peranti ini menawarkan satu kepuasan tanpa had dengan sistem bunyi dihasilkan cukup menyeronokkan.