Tanah Melayu Capital Berhad (TMCB) dilantik menerajui projek Hab Perdagangan Qazaq di Malaysia oleh Kementerian, Perdagangan dan Integrasi Kazakhstan.

Pakar rangkaian perniagaan dan teknologi maklumat tempatan itu berkata, ia akan menandatangani perjanjian dengan kementerian itu untuk mewujudkan hab perdagangan di Kuala Lumpur, yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

“Hab Perdagangan Qazaq iaitu perdagangan serantau Kazakhstan dijangka menjadi pusat sehenti yang komprehensif bagi meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara Kazakhstan dan Malaysia.

“Ia juga akan menjadi platform utama bagi Kazakhstan untuk melangkau dan melibatkan negara-negara lain di Asia Tenggara bagi meningkatkan peluang komersial dan aktiviti perniagaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Majlis pemeteraian itu akan diadakan tidak lama lagi, dijadual disaksikan pemimpin negara dari Kazakhstan dan Malaysia.

Pengarah TMCB, Ridhwan Rosli berkata, syarikat itu akan memanfaatkan pandangan dan hubungan pasaran tempatan dengan pihak berkepentingan utama awam dan swasta untuk menjayakan Hab Perdagangan Qazaq.

“Hab ini dijangka meningkatkan lagi perdagangan selain berpotensi memacu lebih banyak pelaburan langsung asing ke Malaysia

“Pada masa ini, Malaysia merupakan rakan dagang terbesar Kazakhstan di rantau ini melibatkan nilai dagangan kira-kira RM600 juta setahun,” katanya.

Sementara itu, Naib Menteri Perdagangan dan Integrasi Kazakhstan, Assel Zhubanyshevna Zhanassova berkata, hab perdagangan itu mengesahkan lagi bahawa Kazakhstan terbuka untuk perniagaan dan mencari laluan secara proaktif untuk berkembang dan mempelbagaikan perdagangan dan pelaburan dalam semangat kerjasama ekonomi global.

“Mengambil kira kedudukan geografi kami, Kazakhstan juga boleh menjadi hab transit antara Asia Tenggara dan Eropah, khususnya di negara-negara Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU).

“Hab transit ini akan membolehkah paradigma perdagangan baharu yang berupaya mewujudkan pekerjaan, menambah baik kehidupan dan memelihara sumber asli,” katanya.