CEKD Bhd (CEKD), yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia mensasarkan untuk meraih RM24.28 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) yang dilancarkan hari ini.

CEKD merupakan penyedia rumusan pemotongan acuan serta pengeluar acuan pemotong dan pedagang alat-alat dan aksesori boleh digunakan.

Pengarah Urusan CEKD, Yap Kai Ning berkata, IPO yang dilancarkan ini melibatkan terbitan awam sebanyak 50.59 juta saham baharu pada harga terbitan 48 sen sesaham, yang akan ditawar untuk permohonan seperti berikut.

“Sebanyak 9.73 juta saham baharu ditawarkan untuk permohonan rakyat Malaysia, 9.73 juta saham baharu diperuntukkan untuk pengarah dan kakitangan yang layak serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan Kumpulan, 6.81 juta saham baharu secara penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan 24.32 juta saham secara penempatan persendirian untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya.

Pengarah Urusan CEKD, Yap Kai Ning

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran IPO CEKD di sini hari ini.

Kai Ning berkata, perolehan yang diraih menerusi IPO tersebut akan digunakan untuk pengambilalihan kilang bagi Hotstar sebanyak RM8.8 juta, perbelanjaan modal bagi membeli mesin baharu RM3 juta, tambah baik dan pembangunan perisian dan pelayan komputer sebanyak RM1.3 juta.

Baki yang lain digunakan untuk membayar balik pinjaman bank RM4 juta, perbelanjaan aktiviti pemasaran RM1.5 juta, modal kerja am RM2.683 juta dan perbelanjaan penyenaraian RM3 juta.

Mengulas lanjut beliau berkata, penyenaraian CEKD tidak lama lagi menandakan pencapaian besar di dalam sejarah syarikatnya.

“IPO ini bukan sahaja mengukuhkan kewujudan kami di dalam industri sebagai peneraju penyediaan rumusan dan pengeluar pemotong acuan tetapi juga mengangkat profil kami bagi membantu pelan perluasan kami. Kami komited untuk mengekalkan reputasi kami dan mencipta nilai untuk para pemegang saham kami.

“Hasil daripada IPO akan diguna bagi membeli mesin pemotong laser dan pemproses steel rule automatik bagi menyokong perluasan perniagaan dan meningkatkan kecekapan pengeluaran kami.

“Keupayaan pengeluaran kami akan dipertingkatkan dengan penambahbaikan perisian dan pelayan komputer kami dan ia akan menyokong pertumbuhan perniagaan. Selain membeli mesin dan peralatan, kami juga akan mengambilalih sebuah kilang untuk Hotstar terletak di Kepong, Kuala Lumpur,’’ katanya.

Setakat 6 Ogos 2021, CEKD mempunyai pangkalan pelanggan yang besar dan pelbagai sebanyak 1,309 pelanggan dengan Kumpulan berjaya mencatatkan purata margin keuntungan kasar sebanyak 48.3 peratus dari tahun kewangan berakhir 2018 hingga tahun kewangan berakhir 2020.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pembiayaan Korporat, M&A Securities Sdn Bhd, Datuk Bill Tan berkata, pihaknya telah menerima maklum balas positif daripada para pelabur mengenai IPO CEKD dan gembira untuk memainkan peranan utama di dalam matlamat CEKD menjadi syarikat tersenarai awam.

“Pencapaian besar hari ini adalah hasil kerja keras dan dedikasi pasukan CEKD. Mereka berpengalaman dan komited dengan kemahiran operasi dan pengetahuan mendalam mengenai pembuatan acuan pemotong dan berdagang alat-alat dan aksesori yang boleh digunakan. IPO ini akan mengukuhkan kedudukan CEKD di dalam industri.’’ katanya.

Di dalam penyenaraian CEKD ini, M&A Securities bertindak sebagai penasihat, penaja, penaja jamin tunggal dan agen penempatan. Susulan perjanjian penaja jamin, M&A Securities akan menaja jamin bagi saham-saham yang layak dipohon oleh rakyat Malaysia.