“Saya melahirkan kebimbangan akan impak ke atas sistem pendidikan sekolah rendah dan menengah susulan daripada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang sedang berlarutan sekarang.

“Saya percaya situasi ini telah melebarkan jurang perbezaan antara pelajar daripada
golongan yang berada dan kurang berada serta antara pelajar dari kawasan bandar
dan luar bandar,” kata Ketua Wanita Barisan Nasional Pulau Pinang, Datuk Norliza Abdul Rahim.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang berkata, kaedah PdPR untuk sekolah rendah dan menengah adalah baharu dalam sistem pendidikan negara malah dilaksanakan tanpa sebarang perancangan yang teratur akibat daripada pandemik sejak tahun lepas.

“Guru-guru tidak dilatih untuk mengendalikan pengajaran secara atas talian. Pelajar-pelajar juga tidak dapat ditaksirkan melalui pembelajaran atas talian.

“Oleh yang demikian, keberkesanan PdPR mesti dinilai dengan segera bagi menepis
sebarang penurunan secara mendadak kualiti sistem pendidikan negara. Proses
pembelajaran murid-murid Tahun Satu dan Tahun Dua di peringkat sekolah rendah
dipercayai terjejas teruk dalam tempoh pandemik ini.

“Justeru, saya mendesak Kementerian Pendidikan agar menubuhkan satu Jawatankuasa Bertindak Perundingan terdiri daripada wakil tenaga pengajar semua aliran sekolah dan pakar-pakar pendidikan bagi mengubal satu rancangan dan strategi jangkamasa panjang pasca Covid-19,” katanya.

Katanya, rancangan dan strategi-strategi ini harus menyelesaikan jurang perbezaan dan
mereka bentuk satu strategi jangka masa panjang bagi memastikan kualiti pendidikan negara tidak dikompromikan oleh impak pandemik ini.