Di atas semangat Muafakat Nasional (MN), Wanita UMNO Pulau Pinang bersama-sama Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang membidas sekeras-kerasnya tindakan melampau tentera Zionis Israel yang melakukan serangan udara di bumi Palestin, terutama di Gaza sehingga meragut lebih 100 nyawa Palestin termasuk kira-kira 50 nyawa wanita dan kanak-kanak.

Ini satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan yang berulang-ulang oleh tentera Zionis sejak akhir Ramadan lalu yang turut mengakibatkan kecederaan hampir 2,000 lagi rakyat Palestin.

Wanita UMNO Pulau Pinang dan Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang senada bersama kerajaan Malaysia yang menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggunakan segala kuasa dan pengaruh mengikut undang-undang antarabangsa bagi membantu rakyat Palestin yang terhimpit dengan kancah kezaliman ketenteraan Israel.

Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang, Datuk Norliza Abdul Rahim dan Ketua Dewan Muslimat Pulau Pinang, Ustazah Hasanah Idris berkata, bantuan kemanusiaan perlu disegerakan bagi membawa bahan bakar, makanan dan bekalan perubatan.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan berkata, ini kerana dianggarkan lebih 10,000 rakyat Palestin terpaksa meninggalkan kediaman mereka di Gaza malahan rakyat Palestin termasuk wanita, orang tua dan kanak-kanak ini terpaksa berlindung di sekolah, masjid dan tempat lain yang difikirkan selamat ketika pandemik global COVID-19 dengan akses air, makanan, kebersihan dan perkhidmatan kesihatan yang terhad.

“Wanita UMNO Pulau Pinang dan Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang bertegas semua pihak harus sentiasa mematuhi undang-undang kemanusiaan serta hak asasi manusia antarabangsa. Moga rakyat Palestin terus dilindungi Allah SWT,” katanya.