Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara senada bersama Perdana Menteri, Tan
Sri Muhyiddin Yassin menerusi kerajaan Malaysia, Indonesia dan Brunei yang bertegas
bahawa keganasan rejim Israel di bumi Palestin dihentikan serta-merta.

Pengerusinya Senator Datuk Razali Idris berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan PBB hendaklah berfungsi sebenar-benarnya dalam menguatkuasakan undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Piagam PBB serta jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949.

Beliau berkata, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara juga selari dengan pendirian berprinsip kerajaan Malaysia yang sentiasa konsisten memberi sokongan padu kepada Palestin dan perjuangan rakyatnya sama ada dari segi politik, ekonomi dan moral.

“Kita berharap penyelesaian terbaik kepada konflik Palestin-Israel hanya boleh dicapai melalui rundingan bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau yang berkekalan.

“Sejajar dengan itu, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menyeru seluruh rakyat Malaysia termasuk badan bukan kerajaan (NGO), badan-badan korporat dan parti politik bersatu suara mengutuk tindakan keji Israel terhadap rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia berkata, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara turut menyokong kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa penyelesaian adil dan saksama melalui Penyelesaian Dua Negara atau ‘Two-State Solution’ berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin sebagai satu-satunya jalan penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel.