Wanita UMNO Pulau Pinang dan Wanita Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang membidas sekeras-kerasnya tindakan dan tingkahlaku seorang pengetua sebuah sekolah di Puncak Alam yang memperlekehkan pelajarnya yang mendedahkan gurauan seks dalam pembelajaran dan diugut dengan ancaman dirogol.

Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, tingkahlaku dan tindakan pengetua sekolah berkenaan dalam komen hantaran yang dimuatnaik Facebook di bawah nama yang dikatakan konon miliknya memang tidak melambangkan keintelektualan pengetua terbabit.

Beliau yang juga Ketua Wanita Barisan Nasional Pulau Pinang berkata, Wanita UMNO Pulau Pinang dan Wanita BN Pulau Pinang juga berasa hairan disebalik melindungi dan bertanggungjawab ke atas pelajar tersebut, pengetua terbabit ini pula dikatakan bertindak mahu menggantung persekolahan pelajar terbabit.

“Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan Malaysia hendaklah bertindak tegas dengan mengambil tindakan displin yang sewajarnya terhadap kelakuan yang tidak profesional
daripada pengetua berkenaan selain guru yang yang terlibat dalam gurauan seksual itu.

“Kami juga menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia menyelesaikan siasatan dengan kadar segera dalam isu gurauan seksual dan ancaman dirogol ini serta memastikan pelajar terbabit mendapat pembelaan sewajarnya termasuk tidak digantung atau dibuang dari sekolah.

Menurutnya, Wanita UMNO Pulau Pinang dan Wanita BN Pulau Pinang berharap Kementerian Pendidikan Malaysia perlu mengeluarkan satu pemakluman yang rasmi dalam siasatan ini sebagai satu mesej jelas bahawa sebarang tingkahlaku yang memperlekehkan martabat wanita tidak wajar diterima langsung dalam sistem pendidikan negara.

Sehubungan itu, Wanita UMNO Pulau Pinang dan Wanita BN Pulau Pinang berdiri teguh
bersama pelajar terbabit dalam mendepani isu ini malahan kami bersedia menawarkan khidmat peguam sekiranya perlu dalam mempertahankan haknya sebagai seorang pelajar
dan wanita.