Kemeriahan semakin terasa di sekitar menara kedua tertinggi di dunia. Ogos ini, 118 Mall bakal membuka pintunya, mengalu-alukan kedatangan rakyat Malaysia serta pengunjung global untuk menikmati lokasi menarik yang menggabungkan warisan sejarah ibu kota dengan gaya hidup serba baharu yang moden.
Terletak di presint bersejarah Merdeka 118, sebuah destinasi global di pusat bandar Kuala Lumpur, 118 Mall kini berada di peringkat akhir transformasinya. Hanya beberapa langkah dari kemeriahan Jalan Petaling serta berdekatan dengan Stadium Merdeka dan Stadium Negara yang ikonik, pusat beli-belah ini sedang bersedia untuk menjadi pelengkap kepada warisan budaya Kuala Lumpur seiring dengan kemasukan jenama-jenama dan rakan niaga awalnya.
Jiwa Ibu Kota: Malaysian Artisan District
Ciri utama yang menarik di 118 Mall ialah Malaysian Artisan District, sebuah ruang seluas 80,000 kaki persegi yang meraikan keindahan seni dan kreativiti tempatan. Ianya bukan sekadar ruang aras runcit semata-mata; tetapi merupakan sebuah galeri gaya hidup yang menghimpunkan cita rasa, seni kraf tangan dan hasil kreatif tempatan.
Tumpuan utamanya ialah Makanizm Food Hall di Aras 3, sebuah destinasi menjamu selera seluas 40,000 kaki persegi yang menyajikan kepelbagaian dan keunikan sajian Malaysia.
Destinasi Global Terpilih
118 Mall menawarkan pengalaman bertaraf dunia dengan menghimpunkan gabungan jenama antarabangsa (international flagships), jenama gaya hidup premium serta nama-nama tempatan yang digemari, bermula dengan jenama kafe dan restoran seperti Kenny Hills Café, ZUS Coffee, Eight Ounce Coffee, Oriental Kopi, Serai Premium, Dolly DimSum, Cili Kampung dan lain-lain.
Pusat beli-belah ini turut menampilkan konsep flagship jenama fesyen dan gaya hidup seperti Skechers dan Decathlon, di samping Habib Jewels, jenama barang kemas terkemuka Malaysia yang terkenal dengan seni ketukangan halusnya.
Konsep gaya hidup ini turut diperkukuhkan lagi dengan kehadiran jenama-jenama antarabangsa terkenal seperti Coach, Hackett London, Cole Haan serta jenama sukan seperti Asics dan LiNing.
Bagi memenuhi keperluan harian, 118 Mall juga menempatkan jenama-jenama premium seperti Village Grocer, HappiKiddo dan Babyshop untuk seisi keluarga. SOGO118 merupakan evolusi terbaharu jenama ikonik SOGO yang menggabungkan konsep kontemporari yang lebih dinamik bagi memenuhi cita rasa pengunjung dan penggemar beli-belah masa kini.
Gedung konsep pelbagai jenama ini turut membawakan bar Matcha yang baharu diperkenalkan di pasaran, di samping jenama kecantikan dari Korea, Jepun dan China.
Pentas Sosial Berlatarkan Langit Biru: The Atmosphere
Terletak di aras 4, The Atmosphere sebuah piazza acara seluas 20,000 kaki persegi yang direka khas untuk menganjurkan pelbagai acara meriah di sini. Diterangi dengan cahaya matahari semula jadi yang menembusi kubah kaca spektakular berdiameter 88 meter, ruang yang lapang ini menggabungkan elemen dalaman dan luaran secara harmoni.
Ruang ini dilengkapi dengan tiga skrin LED berdefinisi tinggi bersaiz besar yang mengelilingi sebahagian bawah kubah serta ruang piazza, mampu memaparkan seni digital imersif dan kandungan secara langsung, sekali gus mencipta latar belakang dinamik untuk pelbagai acara, daripada pertunjukan fesyen hingga festival komuniti.
Ia juga adalah ruang yang direka untuk pengunjung meluangkan masa sambil menikmati
suasana persekitaran dari perspektif yang baharu dan mengujakan.





































