Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menggesa Kerajaan Malaysia menerusi
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta Kesatuan Parlimen Negara-Negara Anggota OIC
(PUOIC) memberi tekanan terhadap negara haram Israel dalam memastikan keselamatan
dan kesejahteraan rakyat Palestin.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, keamanan perlu dikembalikan khususnya rakyat Palestin yang tinggal di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitul Maqdis yang dilihat dipaksa berpindah sebagai pengusiran dan pembersihan etnik secara terancang oleh pendatang haram Yahudi sebagai punca kemuncak kekejaman dan keganasan secara bersiri pada akhir bulan Ramadan ini.

“Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan
susulan tentera Zionis yang menyerang dan mencederakan lebih 200 rakyat Palestin yang
merempuh masuk Masjid al-Aqsa dengan menggunakan bom tangan, gas pemedih mata dan peluru besi dilapisi getah bagi menyerang jemaah di sana susulan pengusiran di Sheikh
Jarrah.

“Justeru, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menyifatkan kekejaman dan
keganasan yang dilakukan oleh negara haram Israel sebagai pengusiran dan pembersihan
etnik terancang, sekali gus meningkatkan pelanggaran hak asasi manusia terhadap rakyat
Palestin,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia berkata, Kerajaan Malaysia menerusi OIC dan PUOIC mempunyai tanggungjawab untuk bersuara tegas secara kolektif untuk menggesa dan bertindak bagi memberi tekanan terhadap negara haram Israel serta mengelak memungkin dasar “apartheid” kembali semula di bumi Palestin.

Sehubungan itu, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara senada dan selari bersama-
sama PUOIC akan terus mempertingkatkan suara kami terus didengari di segenap pelusuk
dunia untuk berdiri bersama rakyat Palestin yang ditindas dalam tindakan keji dan keganasan oleh tentera Zionis Israel.