Kit pengumpulan air liur untuk ujian COVID-19 ini telah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (Medical Device Authority), Kementerian Kesihatan Malaysia dan MDSS (Medical Device Safety Service) Germany.

Usahasama Alif-fjord merupakan syarikat Malaysia pertama yang mencipta peralatan perubatan menggunakan sampel air liur (deep throat saliva) yang dihasilkan sendiri oleh rakyat Malaysia.

Alif Masyhur Sdn Bhd (Alif Masyhur) bersama Fjord Diagnostics Sdn Bhd (Alif-fjord), memperkenalkan peralatan perubatan dikenali sebagai Kit Pengumpulan Sampel Air Liur, Fjord-Saliva yang mengandungi alat (Sediprep) untuk meningkatkan konsentrasi kandungan virus dalam sampel air liur bagi mengesan COVID-19. 

Pengerusi Eksekutif Aliff Masyhur Sdn Bhd Datuk Mazlan Sabli

Ianya merupakan kaedah persampelan yang selamat dan tidak invasif berbanding persampelan kaedah ‘nasopharyngeal’ dan ‘oropharyngeal’ swab iaitu melalui hidung dan mulut. 

Kaedah menggunakan sampel air liur itu yang lebih mudah, selesa dan selamat juga dilihat penting kerana ia bersifat ‘self collected’ (dikumpul sendiri) dan akan menjadi lebih murah jika kos makmal dapat diseragamkan. 

Ianya dapat membantu Kerajaan dalam penjimatan ketika melaksanakan saringan kerana penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) serta peralatan berkaitan dan bilangan petugas barisan hadapan dapat dikurangkan. 

Selain itu, apa yang lebih penting ialah dapat mengurangkan risiko jangkitan kepada petugas kesihatan khasnya yang bertugas mengambil dan mengumpul sampel.

Dari kiri ke kanan, Pengerusi Eksekutif Alif Masyhur Sdn Bhd, Datuk Mazlan Sabli, Pengarah Pembangunan Perniagaan Fjord Diagnostics Sdn Bhd, Robin Chin dan Pengarah Urusan Fjord Diagnostics Sdn Bhd, Derrick Tan pada sidang media di Putrajaya, hari ini

Sampel itu yang juga setakat ini didapati sesuai bagi ujian real-time reverse transcriptase-PCR (RT-PCR).

Pengerusi Eksekutif Alif Masyhur Sdn Bhd, Datuk Mazlan Sabli berkata, peralatan perubatan itu sudah menerima sijil kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (Medical Device Authority), Kementerian Kesihatan Malaysia dan Medical Device Safety Service GmbH dari Jerman.

Beliau berkata, produk itu kini sudah dipasarkan dan digunakan secara meluas di beberapa negara Asia serta Eropah dan terbukti berkesan dalam mengesan virus COVID-19. 

Produk keluaran Alif-fjord ini khususnya Inactivated Viral Transport Medium (VTM) dan Sediprep telah dipatenkan di 8 buah negara seperti USA, UK, Japan, China, Korea dan beberapa negara lain.

Foto diambil menggunakan Samsung Galaxy S21 Ultra 5G

“Kami mahu bersama petugas kesihatan Malaysia untuk memerangi pandemik COVID-19 yang bukan sahaja berlaku di negara kita malah di seluruh dunia.

“Hari ini, kita berbangga kerana peralatan kit ujian ini adalah hasil ciptaan anak Malaysia sendiri dan dikilangkan sepenuhnya di negara ini. Ia akan dijual pada harga RM45 sahaja.

“Kami juga telah berbincang dengan pihak Institut Penyelidikan Perubatan (Institute for Medical Research) pada tahun lalu (3 Disember 2020) berkenaan kaedah persampelan menggunakan air liur ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Alif Masyhur Sdn Bhd, Sahrizal Omar dan Pengarah Urusan Fjord Diagnostics Sdn Bhd, Derrick Tan.

Set Kit Pengumpulan Sampel Air Liur Fjord bersama alat Sediprep ini dicipta dan dihasilkan oleh Pengarah Pembangunan Perniagaan, Fjord Diagnostics Sdn Bhd, Robin Chin yang mempunyai pengalaman luas didalam bidang peralatan perubatan. 

Kelebihan kit ini adalah seperti berikut:

  1. Produk 100% buatan Malaysia ini selamat daripada potensi jangkitan disebabkan campuran sampel dengan buffer nyahaktif virus.
  2. Sampel mampu bertahan selama 21 hari di dalam suhu bilik tanpa perlu di simpan di dalam peti sejuk bersuhu rendah.
  3. Saringan sampel menggunakan Sediprep menghasilkan konsentrasi kandungan virus untuk memudahkan ujian di makmal dan ketepatan yang tinggi.  

Mazlan menambah, kit ujian itu membolehkan pengumpulan sampel air liur dilakukan sama ada di rumah atau di tempat kerja tanpa perlu ke pusat kesihatan.

Produk ini boleh digunakan secara meluas untuk menjalankan ujian membabitkan pelbagai sektor industri seperti perkilangan, pembuatan, pembinaan, fabrikasi dan perkhidmatan. 

Selain itu, kegunaannya boleh diperluaskan kepada pelajar-pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi awam atau swasta dan kolej-kolej di seluruh negara, begitu juga pusat jagaan kanak-kanak, tahfiz dan orang-orang tua dengan tempoh keputusan ujian di makmal akan mengambil masa kira-kira 48 jam. 

Secara amnya, ujian COVID-19 boleh dilakukan oleh semua rakyat Malaysia tanpa perlu temujanji, beratur, kos tambahan seperti pengangkutan, perkhidmatan klinikal atau kemungkinan terdedah kepada jangkitan dan infeksi.

Beliau berkata, persampelan bagi ujian COVID-19 dengan menggunakan air liur sebenarnya telah dijalankan di beberapa negara dan ia terbukti lebih murah dan menjadi antara kaedah mengumpul sampel paling konsisten.

Alif-fjord menghasilkan peralatan perubatan ini mengikut standard antarabangsa. Diharapkan kit ujian ini dapat membantu Kementerian Kesihatan Malaysia melaksanakan ujian saringan COVID-19 dengan lebih cekap.

“Kami akan terus melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menyokong industri kesihatan domestik serta antarabangsa bagi kepentingan manusia sejagat.

“COVID-19 adalah virus penyakit yang boleh membawa maut dan beberapa penyelidikan juga mendapati mutasi penyakit ini semakin berkembang dan ini membimbangkan semua pihak,” katanya.

Menurutnya, jika kita lihat jumlah kematian membabitkan rakyat Malaysia sudah mencecah angka lebih 1,000 orang manakala jumlah kes yang dijangkiti COVID-19 setakat ini sudah melebihi 300,000 orang.

Mazlan berkata, Alif-Fjord kini telah bersedia untuk membekalkan Kit Pengumpulan Sampel Air Liur di dalam jumlah yang besar.

“Kami telah menerima pesanan daripada beberapa agensi dan farmasi dari dalam dan luar negara. Kapasiti pengeluaran sudah ditingkatkan kepada 2 juta kit sebulan,” katanya.

Sementara itu, memetik laporan yang disiarkan media pada 18 Februari lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) akan memulakan ujian COVID-19 menggunakan persampelan air liur (deep throat saliva) di beberapa hospital kerajaan dalam masa terdekat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan, berkata berdasarkan penilaian Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mendapati kaedah persampelan air liur itu memberi keputusan sebanyak 96.67 peratus ketepatan dan 100 peratus untuk spesifisiti.

Mengenai Alif-fjord 

Alif Masyhur Sdn Bhd (Alif Masyhur) bersama Fjord Diagnostics Sdn Bhd (Alif-fjord) mempunyai pengkhususan dalam pelbagai bidang termasuk membekal peralatan hospital dan ubat-ubatan, pakaian perubatan dan tekstil, peralatan makmal dan bahan kimia serta perkhidmatan perundingan keselamatan dan sanitasi. 

Syarikat 100% milik Bumiputera ini memiliki semua sijil kelayakan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia.

Fjord Diagnostics Sdn Bhd ditubuhkan sebagai syarikat bio teknologi yang terbabit dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembuatan dan pemasaran produk Cytopatholagy dan peralatan penyediaan sampel untuk kegunaan hospital dan makmal komersial.

Maklumat lanjut boeh layari laman web www.aliffjord.com