Perodua Ativa, model pertama di bawah rangka tindakan Perodua Smart Build, dilancarkan hari ini dengan harga rasmi antara RM61,500 hingga RM72,000, atas jalan sebelum insurans di Semenanjung Malaysia.

Harga tersebut lebih rendah daripada harga tentatif RM62,500 hingga RM73,400 yang
telah diumumkan sebelum ini, dan sah sehingga pengecualian cukai jualan kerajaan
berakhir pada 30hb Jun nanti.

“Harga Perodua Ativa yang berpatutan adalah disebabkan kadar kandungan komponen tempatan sebanyak 95%, kadar permulaan tertinggi bagi mana-mana model Perodua.

“Malah, enjin dan transmisinya juga dihasilkan di Malaysia,” kata Presiden dan Ketua
Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Perodua Ativa dilancarkan secara rasmi oleh Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin
menerusi premiere digital yang bermula pada 8 malam tadi.

“Setakat ini, kami telah menerima kira-kira 5,000 tempahan bagi Perodua Ativa sejak ianya
dibuka untuk tempahan pada 19hb Februari lalu. Kami mengucapkan terima kasih kepada
rakyat Malaysia di atas sokongan mereka.

“Penghantaran akan bermula 4 Mac 2021, dan kami mensasarkan untuk menghantar sebanyak 3,000 unit sebulan secara purata,” katanya.

Zainal turut menambah bahawa Perodua Ativa adalah hasil kerjasama pintar pertama antara Perodua dan rakan teknikal dan teknologinya, Daihatsu.

“Perodua Ativa dibina atas platform global kerana Perodua dan Daihatsu telah berjaya
menyatukan sumber yang mampu menghasilkan model paling berdaya saing,” katanya.

Menurutnya, pengenalan Perodua Ativa amat penting kerana ia membawa kerjasama antara Perodua dan Daihatsu ke tahap baharu, membolehkan Perodua dan para
pembekalnya berkongsi komponen dan proses untuk memaksimumkan kecekapan kos.

“Semua ini dilakukan tanpa mengetepikan reka bentuk, ciri-ciri dan citarasa Malaysia yang
unik.

“Penglibatan kami dalam pembangunan Ativa bermula dari papan lukisan dengan 54 pereka dan jurutera kami bekerjasama dengan Daihatsu sejak 2018.

Cup Holder

“Kerjasama erat ini membolehkan kami melibatkan ekosistem automotif Malaysia di dalam
pembangunan model ini, dan para pembekal kami berjaya mengatasi cabaran dan mampu
mengurangkan kos mereka,” katanya.

Zainal berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana mengiktiraf sumbangan Perodua kepada ekosistem dan atas sokongan mereka selama ini.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai model baharu ini, beliau berkata, Ativa berasal
daripada Bahasa Portugis yang bermaksud ‘aktif’, dan kami percaya bahawa setelah anda
memandu uji Perodua Ativa, anda akan yakin bahawa model ini sesuai dengan gaya hidup
aktif di bandar yang dialami ramai kini.

Ativa merupakan kenderaan cas turbo pertama Perodua, model pertama Perodua yang
menggunakan Transmisi Boleh Laras Berterusan (CVT) dan model pertama Perodua yang
memenuhi standard Pemanduan Autonomi Tahap 2, selain menjadi kenderaan paling
mampu milik di Malaysia yang memenuhi standard tersebut.

Semua teknologi ini menyumbang kepada kecekapan bahan api sehingga 18.9 km/l,
menjadikannya Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) kelima Perodua.

Bantuan Pemanduan Selamat (ASA*) 3.0 membuat kemunculan pertamanya pada Perodua
Ativa, dan ianya terdapat pada semua varian buat julung kali. ASA 3.0 berfungsi pada kelajuan yang lebih tinggi (sehingga 120 km/j untuk kenderaan dan sehingga 60 km/j untuk pejalan kaki) berbanding sistem ASA 2.0 semasa, dan kini boleh mengesan kenderaan beroda dua serta berfungsi pada waktu malam.

Pada semua varian juga terdapat enam beg udara, lampu hadapan LED automatik dengan
Auto High Beam dan Lane Departure Warning and Prevention. Varian H dan AV mempunyai Adaptive Driving Beam, paparan multi-info TFT tujuh-inci dan sistem infotainment skrin sesentuh sembilan-inci dengan voice recognition.

Varian AV secara eksklusif mempunyai Lane Keep Control, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert dan Adaptive Cruise Control.

Dengan Ativa kini sebahagian daripada keluarga Perodua, pengeluar kenderaan itu menjangkakan perbelanjaan sebanyak RM6.5 bilion untuk membeli komponen daripada
pembekal tempatan tahun ini.

“Kami menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk mengunjungi mana-mana pusat jualan
kami di seluruh negara – di mana garis panduan COVID-19 dipatuhi ketat demi kesihatan
dan keselamatan semua – untuk melihat, merasai dan memandu uji Perodua Ativa
sebelum pengecualian cukai jualan kerajaan berakhir pada 30hb Jun nanti,” katanya.

*ASA adalah adalah sistem bantuan pemanduan yang membantu mengurangkan risiko
pelanggaran dan bukan pengganti pemanduan selamat sama sekali.