Gejala rasuah adalah satu wabak yang perlu dicegah dari peringkat awal lagi dengan tindakan mestilah bersandarkan kepada undang-undang yang tegas.

Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, rasuah boleh merosakkan pentadbiran negara sekiranya dibiarkan pihak yang berkepentingan menyalahgunakan kedudukan dan jawatan yang disandang semata-mata untuk kepentingan peribadi.

“Rasuah juga boleh mengugat kedaulatan negara dan jika dibiarkan berterusan boleh mencemarkan nama baik sesebuah organisasi atau syarikat.

“Justeru, pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan pihak berkuasa lain perlu tegas serta berani mencegah perkara ini tanpa mengira kedudukan mereka.

“Banyak negara luar mengambil tindakan ke atas mereka yang berkuasa termasuk dalam kalangan tokoh politik kerana menyalahgunakan kedudukan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau yang juga ahli Panel Penasihat Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) berkata, ada negara yang begitu tegas dalam soal rasuah termasuk negara ini dan ia amat baik kerana memberi keyakinan kepada para pelabur untuk melabur dalam negara kita.

“Jadi usaha membanteras rasuah perlu berterusan dengan kerjasama semua pihak termasuk orang ramai menerusi kempen besar-besaran perlu dilakukan dan keterlibatan pemimpin utama negara perlu bagi menggerakkan wawasan mencegah rasuah di semua peringkat,” katanya.

Menurutnya, kakitangan kerajaan, ahli politik, para peniaga dan masyarakat umum harus digerakkan bagi mewujudkan lebih ramai pemerhati rasuah serta dalam masa sama mencadangkan agar diwujudkan pemerhati seperti Suruhanjaya Pengawas Rasuah.

“Ini bertujuan melihat keadilan dan keberkesanan pihak berkuasa yang menjalankan fungsi dan tindakan rasuah bagi memberi keyakinan dan pembelaan kepada mereka yang teraniaya.

“Harapan kita supaya negara kita dapat melahirkan insan yang berjiwa besar, murni dan ikhlas berjuang menghapuskan rasuah, demi bangsa, agama dan negara tercinta,” katanya lagi.