Agrobank telah mengumumkan program Bantuan Banjir yang bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan pelanggannya yang terkesan akibat banjir.

Pemangku Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, pihak bank telah mengikuti berita terkini mengenai situasi banjir di semua kawasan yang terjejas di seluruh negara, dan akan mengambil langkah proaktif dalam membantu para pelanggannya untuk mengurangkan beban kewangan mereka yang terkesan kerana musibah banjir.

Gambar Hiasan

“Kami sangat prihatin terhadap kesulitan yang sedang dihadapi oleh komuniti agro yang terkesan oleh situasi semasa dan kami memahami bahawa mereka mempunyai keutamaan dan keperluan kewangan lain yang lebih mendesak pada masa ini.”

“Kami berharap melalui program Bantuan Banjir yang ditawarkan oleh Agrobank ini dapat meredakan kegusaran akan komitmen kewangan dalam tempoh yang sukar ini dan sekaligus dapat membantu mereka untuk meneruskan rutin normal mereka secepat mungkin,” katanya.

Bantuan tersebut meliputi penstrukturan dan penjadualan semula pembiayaan (R&R) serta penangguhan pembayaran balik pembiayaan sehingga enam bulan dan akan dinilai berdasarkan kes mengikut kes.

Pelanggan yang memerlukan maklumat lebih lanjut berkaitan bantuan pembayaran balik Agrobank, boleh menghubungi Pusat Perhubungan Pelanggan di 1300 88 2476 atau e-mel [email protected] atau menghubungi pegawai perhubungan atau cawangan masing-masing, atau layari www.agrobank.com.my