Seramai 180 keluarga di Bandar Tun Razak yang terkesan akibat pandemik Covid-19 menerima bantuan melalui ‘Program Ziarah Kasih Bandar Tun Razak’ iaitu kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) NGC dengan Pertubuhan Skuad Insaniah Kuala Lumpur dan Selangor.

Bantuan berjumlah RM10,000 itu terdiri daripada makanan dan beberapa keperluan asas telah diagihkan dalam usaha membantu meringankan beban menjelang tahun baru.

“Ini adalah sebahagian daripada pelbagai kerjasama NGC dengan organisasi bukan kerajaan yang lain dalam memberikan bantuan kepada masyarakat yang terkesan akibat pandemik ini.

“Kami telah menjalankan aktiviti CSR yang berterusan dengan tema “Memberi Kembali kepada Komuniti” yang juga dilaksanakan bersempena dengan ulang tahun ke-8 kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif NGC, Julianna Kamaruddin.

Pada bulan Disember 2020, NGC telah memberikan bantuan kepada pusat kebajikan dan jagaan dalam komuniti di lokasi utamanya – kilang pengisian gas petroleum cecair (LPG) NGC Energy dan kilang pengisian LPG pihak ketiga.

Sebanyak RM12,000 telah disalurkan kepada empat pusat kebajikan di Ipoh, Lembah Klang, Port Dickson dan Pasir Gudang.

“Program kolaborasi CSR dengan Squad Insaniah juga merupakan program CSR dalam komuniti di lokasi utama kami. Keluarga yang menerima bantuan itu dikenal pasti melalui pengerusi penduduk di kawasan perumahan masing-masing di Bandar Tun Razak.

“Kita semua tahu bagaimana pandemik ini memberi kesan kepada ekonomi. Kami
melaksanakan program ini sebagai usaha mengurangkan beban disebabkan oleh kos
sara hidup keluarga-keluarga ini yang juga terjejas teruk akibat pandemik COVID-19,”
katanya.

NGC Energy juga telah mengatur program CSR sebelumnya pada bulan April, sejurus
selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kali dikenakan. Barisan hadapannya – pemandu lori dan ‘runner’ melalui pengedar MiraGas, kontraktor dan pekerja pengisian LPG di kilangnya dilengkapi dengan peralatan kebersihan diri.

Mengenai program kolaborasi CSR dengan NGC, Presiden Squad Insaniah, Mohd Fauzi Ibrahim, mengatakan acara ini tepat pada masanya kerana ia membantu masyarakat yang kini terjejas.

Ini juga membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan bekerjasama dalam menghadapi cabaran yang melanda negara.

“Kami sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana syarikat, atau individu yang ingin tampil untuk membantu dan bekerjasama dengan Squad Insaniah,”
katanya.