Syarikat pelaburan bagi syarikat permulaan tempatan, NEXEA Angels Sdn Bhd dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) telah mengumumkan pembaharuan perjanjian kerjasama untuk Entrepreneurs Programme (EP).
EP ialah sebuah platform untuk para usahawan membentuk jaringan dengan individu atau syarikat lain yang memiliki pemikiran yang sama untuk berkongsi perspektif baharu dan belajar antara satu dengan yang lain melalui perkongsian idea, nasihat dan amalan terbaik, selain berkongsi pengalaman, supaya mereka tidak perlu lagi menempuhi perjalanan mereka sebagai usahawan secara bersendirian.
Di dalam perjanjian kerjasama ini, MDEC akan menaja sekumpulan 32 peserta dan memilih
pengasas syarikat permulaan yang berpotensi tinggi untuk berkembang maju daripada
pengkalan data mereka untuk menyertai program ini.

MDEC dan NEXEA pertama kali bekerjasama dalam Entrepreneurs Programme ini pada awal tahun ini dan ia terbukti berjaya walaupun negara dilanda wabak Covid-19.
Ben Lim, Pengarah Urusan NEXEA berkata, “Covid-19 telah memberi impak yang sangat besar kepada syarikat permulaan kerana ia membataskan pergerakan dalam perniagaan.
Pengasas-pengasas syarikat ini amat memerlukan bantuan dalam keadaan ekonomi yang
mendesak ini. Entrepreneurs Programme ini akan dapat memberikan panduan kepada
mereka untuk bertahan dalam tempoh yang mencabar ini.
EP pertama kami terbukti berjaya apabila peserta berjaya mengekalkan unjuran positif pendapatan syarikat untuk tempoh perbandingan suku kewangan (QOQ) di samping menambah tenaga kerja. Ini menunjukkan impak positif Entrepreneurs Programme ini terhadap prestasi syarikat permulaan,” katanya.
Entrepreneurs Programme ini beroperasi secara pementoran dalam kelompok perniagaan
setara untuk mencipta perniagaan berdaya kekal dengan memberi persediaan kepada
syarikat permulaan yang berpacu teknologi yang sedang meningkat bagi pertumbuhan tahap seterusnya melalui pembelajaran interaktif, perbincangan aktif dan perhubungan dengan pengasas-pengasas syarikat dalam industri berbeza bagi mewujudkan sistem sokongan.
“NEXEA adalah rakan strategik rapat MDEC pada tahun ini. Melalui perkongsian ini, kami telah membantu pertumbuhan lebih daripada 20 syarikat permulaan. Dalam tempoh yang
mencabar ini, MDEC percaya bahawa adalah penting untuk kami membantu sebanyak
mungkin syarikat permulaan dengan memberikan mereka pelaburan, pementoran dan
peluang latihan.
“Dengan hasil yang sangat membanggakan untuk fasa pertama tahun ini, kami berharap akan dapat memberikan impak yang lebih besar dengan pembaharuan perjanjian kerjasama ini,” kata Gopi Ganesalingam, Naib Presiden Bahagian Perniagaan
Bertenaga Digital MDEC.

Silibus program yang sentiasa relevan membolehkan ia dilaksanakan secara berterusan. Ia
juga bertujuan untuk membantu peserta hingga ke tahap IPO. Sebulan sekali, peserta
program ini akan bersidang sepanjang hari secara berkumpulan seramai 15 orang untuk
berkerjasama menyelesaikan isu-isu perniagaan yang timbul, berbincang tentang cabaran yang dihadapi untuk mencari penyelesaian dan menerima maklum balas yang berharga daripada ahli kumpulan.
Buat masa ini, terdapat lebih daripada 40 orang pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif
syarikat permulaan di dalam Entrepreneurs Programme ini. Pada bulan Oktober 2020, 23
peserta telah mencatatkan rekod penilaian perniagaan berjumlah RM243,000,000 dan turut
mencatatkan jumlah dana permulaan sebanyak RM30,530,000.
Sebanyak 23 syarikat permulaan ini memiliki jumlah pekerja seramai 300 orang dan mensasarkan jumlah gabungan pendapatan untuk suku ketiga sebanyak RM62,706,343, iaitu peningkatan pendapatan sebanyak 26.29%.
Peserta program ini termasuk Poladrone, KwikCar, LaPasar, Printcious, SoftSolvers
Solutions, Lokein, Mobi, Zcova, Running Man dan banyak lagi.


































