Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa mahu kementerian dan agensi yang terbabit tidak menuding jari sesama sendiri tetapi sebaliknya memberi masa kepada pihak polis untuk menyiasat perkara itu secara telus dan adil.

Pengerusinya, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, banyak agensi kerajaan yang terbabit dalam isu ‘kartel daging import’ itu seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim).

“Kita harus beri masa kepada pihak terbabit mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini dan berharap satu jalan penyelesaian terbaik dapat diputuskan agar perkara ini tidak berulang lagi,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Agama, Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohd Al Bakri di Putrajaya, semalam.

Perkara lain yang dibincangkan termasuk isu semasa mengenai Vaksin COVID-19, pembukaan semula surau dan masjid dibawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) mengikut SOP yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

“Masih wujud kebimbangan segelintir umat Islam untuk datang ke masjid atau surau di Wilayah Persekutuan yang dilabelkan sebagai zon merah dan ada juga diantara mereka yang tidak mengambil berat mengenai isu sama ada masjid atau surau dibuka atau tutup.

“Sekiranya dibiarkan, ia akan memberi kesan kepada generasi muda yang juga kini terkesan akibat wabak COVID-19.

“Justeru, saya mencadangkan agar program-program di surau dan masjid perlu dihidupkan semula memandangkan umat Islam di negara ini bakal menyambut Ramadan dalam kurang daripada tiga bulan lagi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga memohon agar kawasan persekitaran yang tidak dilabelkan sebagai zon merah dipertimbangkan untuk dibuka semula ‘rumah Allah’ mengikut SOP kepada orang ramai.

Mustapha berkata, memandangkan vaksin COVID-19 bakal diperolehi negara kita pada hujung Januari ini, adalah elok jika ahli jawatankuasa surau dan masjid boleh bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar secara gotong-royong.

Selain itu, program kuliah dan ceramah perlu dihidupkan kembali secara bergilir-gilir manakala masjid utama negeri juga boleh menempatkan pasukan perubatan untuk memantau khususnya ketika waktu puncak seperti solat Jumaat.

Sementara itu, Dr Zulkifli berkata, semua perkara terbabit sedang diperinci dan diperhalusi sebelum dibentangkan di Kabinet serta dibawa ke mesyuarat KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Apa yang penting ialah kita mendengar suara nadi rakyat dan ingin memartabatkan syiar Islam walaupun waktu ini kita dilanda ujian Pandemik COVID-19. Jakim akan terus bergerak ke hadapan bagi mencari jalan terbaik dan menambahbaik perkhidmatannya bagi kebaikan masyarakat Islam keseluruhannya,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Menteri Datuk Wan Muhamad Sheikh Abdul Aziz.

Mustapha menunjukkan cadangan plan NGo bagi kerjasama dengan Jakim Kepada YB Menteri Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohd Al Bakri sambil diperhatikan oleh Datuk Wan Mohamed Dato Sheikh Abdul Aziz