Sebanyak 109,716 unit dijual pada 2020 adalah penambahan 8.8% berbanding 2019

Setelah melalui tahun yang penuh cabaran, PROTON mengakhiri 2020 dengan peningkatan penjualan berbanding prestasi mercu tanda pada tahun 2019.

Walaupun pemasangan dan penjualan kenderaan terpaksa dihentikan selama lebih daripada dua bulan akibat PKP, syarikat menjual 109,716 kenderaan bagi keseluruhan 2020 setelah berjaya menjual 13,306 unit pada bulan Disember.

Proton X50

Jumlah penjualan 2020 adalah penambahan 8.8% berbanding 100,821 unit pada 2019, sekaligus membolehkan PROTON digelarkan sebagai satu-satunya syarikat otomotif yang berjaya mencatatkan penambahan di Malaysia.

Bahagian pasaran pula dianggarkan bertambah ke 21.1%, bersamaan dengan satu penambahan yang ketara sebanyak 4.4%.

Pemacu utama penumbuhan jualan adalah Proton Persona, Iriz, Exora dan Saga (PIES) manakala prestasi Proton X50 melebihi jangkaan walaupun pelancarannya terpaksa ditangguhkan.

Kesemua model PIES telah dikemas kini secara meluas pada 2019 dan pelaburan itu memberi hasil dengan setiap model mencatatkan penjualan lebih tinggi walaupun tahun ini dijejaskan oleh wabak koronavirus.

Apabila digabungkan dengan penambahan eksport sebanyak 49.8%, ini membolehkan PROTON mengatasi tren industri otomotif Malaysia yang dijangka menguncup sebanyak 13%.

Dari segi keputusan inidividu, setiap model Proton mengakhiri tahun berhapiran tangga teratas segmen masing-masing. Proton Saga kekal sebagai penjual utama 2020 manakala pelancaran Proton X50 serta penjualan laris Proton X70 bergabung untuk menjadikan Proton jenama SUV nombor satu di negara ini.

“Kami bersyukur kerana berjaya mencatatkan prestasi yang tinggi pada 2020. Jikalau saya menggambarkannya sebagai suatu cabaran, ia adalah pernyataan yang meremehkan tetapi kami tetap gigih.

“Prestasi kami disokong oleh banyak faktor termasuk kepercayaan dari pelanggan, sokongan oleh kerajaan, komitmen dari vendor, ketahanan pihak penjual dan ketekunan kakitangan kami, kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.