Kerjaya sebagai juruteknik dalam industri pembuatan atau pengilangan adalah satu kerjaya yang lebih sinonim dengan golongan lelaki kerana sifat tugasan yang berat dan sistem pengendalian yang dilihat tidak sesuai buat golongan wanita.

Berbeza dengan dua gadis muda ini, Nurul Amira Syafiqah Azli, 22 tahun dan Norsyamsiah Mohd Adib, 24 tahun yang melihat kerjaya yang dipilih ini daripada perspektif yang berbeza.

Dengan bakat dan pengetahuan yang diperolehi, mereka mampu berada di kedudukan yang baik dan meraih pendapatan yang setaraf dalam industri yang didominasi golongan lelaki.

Kisah kejayaan mereka ini diharap dapat menjadi pembakar semangat dan inspirasi untuk generasi muda kerana berjaya membuktikan bahawa golongan wanita juga berupaya untuk berdaya saing dengan golongan lelaki.

Nurul Amira Syafiqah Azli

Kegagalan dalam pelajaran ketika menuntut di Kolej Vokasional tidak menjadi penghalang kepada gadis muda bernama Nurul Amira Syafiqah Azli ini untuk berjaya dalam kehidupan terutama sekali apabila mengambil keputusan untuk berkecimpung dalam dunia pekerjaan yang lain daripada kebiasaan.

Anak kedua dari tiga adik-beradik ini merupakan anak kepada pasangan Azli [email protected], 51 tahun, yang bekerja sendiri sebagai juruelektrik dan ibunya, Ismaniah Ishak, 47 tahun, seorang suri rumah sepenuh masa.

Nurul Amira yang berasal dari Felda Mawar Jengka 10, Pahang ini pernah bekerja sebagai pembantu di pusat jagaan nurseri sebelum menyertai program Peneraju Skil Iltizam Juruteknik Jaminan Kualiti (Quality Assurance Technician) di bawah tajaan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) dengan kerjasama Kulim Advanced Technologies (KAT).

Menyimpan hasrat untuk mengubah nasib keluarga, Nurul Amira beranggapan bahawa apa jua bidang pekerjaan yang dipilih oleh mana-mana individu tidak wajar untuk menjadi penghalang.

Nurul Amira (kanan sekali)

Justeru, walaupun memilih untuk menimba ilmu dalam program yang jarang menjadi pilihan utama kaum wanita, beliau tekad untuk terus komited dan cekal demi masa depan kerjayanya.

Sejurus selepas tamat latihan, beliau pada mulanya berjaya ditempatkan oleh pihak KAT untuk bekerja di PAN International, Seberang Jaya, Penang tetapi menolak tawaran tersebut kerana ingin pulang ke Pahang dan mencari rezeki di sana.

Hasrat beliau untuk bekerja dekat dengan kampung halaman sendiri tercapai apabila berjaya mendapat tawaran bekerja dari Alps Alphines Malaysia Sdn Bhd yang terletak di Jengka, Pahang sebagai seorang Pembantu Produksi dengan gaji pokok permulaan sebanyak RM1,600.

Di tempat kerjanya, Nurul Amira bertanggungjawab untuk mengendalikan pengeluaran barangan syarikat di mana beliau perlu memastikan output keluaran syarikatnya memenuhi piawaian kualiti yang telah ditetapkan sebelum dikeluarkan ke pasaran.

Berbekalkan ilmu yang diperoleh sepanjang mengikuti program di bawah Yayasan Peneraju dan penunjukkan prestasi yang baik, Nurul Amira berjaya mencapai sasaran gaji minimum Yayasan Peneraju bagi program pembiayaan Peneraju Skil Iltizam iaitu sebanyak RM1,500 sebulan dan terus mengekalkan tangga gaji RM2,000 dan ke atas setiap bulan.

Dalam masa enam bulan ketika tempoh pemantauan pekerjaan, pendapatan tertinggi beliau hampir mencecah RM4,000 meliputi elaun dan kerja lebih masa (OT) hasil usaha keras dan hasrat untuk membantu keluarga.

Nurul Amira berasa bersyukur kerana sedikit sebanyak dapat meringankan beban kedua ibu bapanya dan beliau kini menampung segala perbelanjaan persekolahan adiknya yang masih lagi sedang belajar di sekolah.

Norsyamsiah Mohd Adib

Sementara itu, Norsyamsiah Mohd Adib, anak jati Kampung Kun Luang Mukim Binjal Jitra, Kedah, pula memilih untuk menceburi bidang automasi industri.

Anak sulung daripada dua adik-beradik ini adalah anak kepada pasangan Mohamad Adib Ismail, 47 tahun, yang melakukan kerja-kerja kampung di Jitra, Kedah manakala ibunya, Siti Zaleha Kamarudin, 48 tahun, merupakan seorang suri rumah sepenuh masa.

Beliau pernah bekerja separuh masa sebagai pengendali mesin sulaman di syarikat percetakan Ismin Utara Enterprise di Napoh, Kedah sebelum mengambil keputusan untuk menyertai program pembiayaan Peneraju Skil Iltizam Industrial Automation yang ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Peneraju dan juga dengan kerjasama KAT.

Norsyamsiah telah menanamkan semangat untuk mengubah masa depan diri dan keluarganya dan berjaya menunjukkan prestasi cemerlang dan konsisten sepanjang tempoh program.

Gadis yang mencecah usia 24 tahun pada Disember ini telah memulakan kerjaya sebagai juruteknik junior dengan Paradigm Metal Industries Sdn Bhd (PMI) di Kawasan Perindustrian Prai, Pulau Pinang sejak 13 Januari 2020 selepas tamat latihan.

Pada mulanya, beliau hanya menerima gaji asas RM1,250, namun prestasi cemerlang yang
ditunjukkan kemudiannya berjaya membuatkan beliau mencapai gaji sasaran yang ditetapkan oleh Yayasan Peneraju iaitu RM1,500.

Tidak lama selepas itu, Norsyamsiah telah dinaikkan pangkat sebagai juruteknik dan sangat bersyukur apabila gaji yang diperolehinya kekal pada kadar RM2,000 dan ke atas setiap bulan.

Pendapatan tertinggi yang berjaya diperolehi beliau sepanjang tempoh enam bulan pemantauan pekerjaan hampir mencecah RM2,400 termasuk elaun dan kerja lebih masa (OT).

Setelah melaksanakan tugasan beliau dengan bersungguh dan komited, beliau telah berjaya dinaikkan pangkat sekali lagi sebagai seorang juruteknik di bahagian pemasangan di mana beliau bertanggungjawab dalam pemasangan barang Intel dan kepingan logam sebelum produk itu dikeluarkan di pasaran.

Pencapaian adik Nurul Amira dan Norsyamsiah yang mencabar diri untuk menceburi industri ini wajar dijadikan inspirasi kerana berjaya menunjukkan bahawa tiada yang mustahil dan memecahkan stigma bahawa wanita juga mampu melakukan pekerjaan yang didominasi oleh golongan lelaki.

*Gambar ehsan dari FB Nurul Amira Syafiqah Azli dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera