Lancar Fasiliti Pembiayaan Mikro Baharu, Portal Rasmi Pendanaan Awam Islam Sadaqa House dan Kempen #KitaBantuKita.

Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) semalam memperkasakan lagi peranannya dalam agenda Kewangan Sosial dengan melancarkan Pembiayaan Mikro BangKIT.

Inovasi pembiayaan mikro yang dibiayai oleh instrumen sedekah ini, adalah merupakan inisiatif yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Mohd Nazri Chik, Pengurus Besar, Hubungan Strategik Bank Islam (kanan) dan Mohd Muazzam Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam

Majlis pelancaran inisiatif kewangan sosial Bank Islam dirasmikan secara maya oleh Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan turut dihadiri oleh Tan Sri Dr. Ismail Bakar, Pengerusi Bank Islam dan Mohd Muazzam Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam.

Pelancaran fasiliti ini juga merupakan acara kemuncak sambutan Bulan Kewangan Sosial Bank Islam sepanjang bulan November 2020 yang bermatlamat untuk memberi kesedaran umum mengenai kepentingan dan fungsi Kewangan Sosial Islam bagi memastikan kesejahteraan sosioekonomi negara, khasnya dalam persekitaran mencabar yang disebabkan penularan pandemik COVID-19.

Pembiayaan Mikro BangKIT ini disediakan khusus untuk membantu segmen usahawan mikro terpilih yang tidak atau kurang mendapat perkhidmatan perbankan (unbanked & underbanked) mendapatkan modal untuk memulakan perniagaan atau mengembangkan perniagaan dan seterusnya membina rekod kredit bagi melayakkan mereka mendapat pembiayaan lain di masa hadapan.

Pembiayaan Mikro BangKIT yang ditawarkan di bawah kontrak al-Qard (tanpa faedah) ini menyediakan pinjaman serendah RM500 hingga RM3,000 bagi perniagaan baharu dan RM3,000 sehingga RM20,000 bagi pengembangan perniagaan dengan tempoh bayaran balik di antara 6 bulan sehingga 3 tahun.

Para pelanggan yang mendapat manfaat fasiliti ini perlu menjalani latihan keusahawanan berstruktur bagi memastikan kemampanan perniagaan.

Dana pembiayaan mikro ini akan diperoleh melalui Sadaqa House daripada penderma- penderma di kalangan institusi korporat dan orang ramai. Sebagai permulaan, jumlah peruntukan untuk Pembiayaan Mikro BangKIT adalah sebanyak RM2 juta.

Dari jumlah peruntukan ini, Bank Islam menyasarkan seramai lebih 200 orang usahawan mikro mendapat manfaat daripada fasiliti ini, tertakluk kepada kesediaan dana.

page1image27935552

Mustapa Mohamed di dalam ucapannya berkata, “Perbankan Islam mempunyai potensi yang besar untuk memanfaatkan instrumen kewangan sosial Islam seperti zakat, wakaf dan sedekah.

Instrumen-instrumen ini tidak seharusnya terhad kepada penyediaan keperluan asas dan sara hidup golongan yang memerlukan atau untuk tujuan keagamaan seperti pembinaan masjid dan madrasah sahaja.

Ia juga boleh dikembangkan, untuk membangunkan kepada golongan asnaf dan masyarakat yang terkesan teruk ekoran keadaan ekonomi yang tidak menentu, bagi membolehkan mereka berdikari dan lebih berkemampuan dalam jangka masa panjang.”

Di samping itu, Sadaqa House Bank Islam turut memperkenalkan portal rasminya yang baharu (www.sadaqahouse.com.my) bagi mengembangkan lagi potensi platform pendanaan awam Islam dan menarik penglibatan lebih ramai orang awam untuk turut menyumbang kepada projek-projek impak sosial yang dilaksanakan oleh pembuat perubahan (changemakers) yang dipilih oleh Bank Islam.

Sadaqa House juga menerbitkan laporan prestasi sulungnya untuk rujukan umum yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut berhubung penerapan tadbir urus yang ketat dalam mengurus sumbangan yang diterima, hasil dan impak pencapaiannya serta hala tuju jangka panjang.

Berikutan gelombang ketiga penularan COVID-19 yang melanda negara, Sadaqa House turut menganjurkan Kempen #KitaBantuKita bermula dari 25 November 2020 hingga 31 Januari 2021 bagi mengumpul dana daripada orang ramai untuk membantu meringankan beban golongan yang terjejas.

Sumbangan ke tabung Kempen #KitaBantuKita berkenaan boleh dibuat melalui akaun Sadaqa House (No. Akaun Bank Islam : 140 140 101 88888). Antara saluran lain sumbangan yang disediakan termasuk:

  1. penetapan arahan tetap (standing instruction) dari akaun milik penderma;
  2. secara terus melalui portal rasmi Sadaqa House; dan
  3. mengubah mata ganjaran Kad Kredit-i Bank Islam TruReward kepada bentuk sedekah

Sebagai nilai tambah, kempen ini menggunakan asas padanan 1:1 di mana setiap RM10.00 sumbangan kepada Kempen #KitaBantuKita akan turut dipadankan dengan sumbangan RM10.00 dari Sadaqa House sehingga maksimum RM500,000.

Mohd Muazzam berkata, “Bank Islam percaya bahawa instrumen kewangan Islam boleh digunakan untuk menyokong pertumbuhan Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi.

Kami meletakkan inisiatif Kewangan Sosial sebagai sebahagian daripada Matlamat Strategik 2021 kami, dan sedang menyusun pelaksanaannya sebelum pandemik ini menular.

Ketika dunia bergelut dengan kesan ekonomi COVID-19, wabak ini telah mempercepatkan misi kewangan sosial kami kerana keperluannya yang memerlukan penerokaan semua kemungkinan untuk mengurangkan impak terhadap kehidupan masyarakat dan ekonomi negara secara keseluruhan.”

Pada sebelah petang, Bank Islam turut menganjurkan webinar berjudul “Instrumen Kewangan Islam untuk Impak Sosial yang Lebih Berkesan”.

Webinar ini menampilkan Mohd Nazri Chik, Pengurus Besar, Hubungan Strategik, Bank Islam; Prof. Dato’ Dr. Azmi Omar, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) dan Prof. Madya Dr. Amir Shaharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Waqaf Malaysia.