Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) komited untuk membantu pelanggan mendepani tempoh semasa yang mencabar khususnya ekoran peningkatan kes positif COVID-19 di seluruh negara.

Bantuan pembayaran bersasar, yang ditawarkan kepada mereka yang hilang pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan bulanan, terus ditawarkan sehingga 30 Jun 2021.

Sebagai alternatif, pihak bank turut menyediakan pilihan Penjadualan dan Penstrukturan semula kepada pelanggan yang tidak terkesan melalui kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan gaji tetapi masih memerlukan bantuan bagi membolehkan mereka mengatur semula aliran kewangan masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, sejak bermulanya pelaksanaan moratorium automatik pada April 2020, kami secara konsisten telah mendekati para pelanggan yang memerlukan pelan pembayaran semula yang lebih khusus.

“Sehingga kini, kadar kelulusan permohonan bagi bantuan pascamoratorium untuk pelanggan perniagaan adalah hampir 100%. Sementara bagi pelanggan runcit, kami telah meluluskan 100% daripada jumlah permohonan yang lengkap dengan dokumen sokongan, yang mana 43% kelulusan untuk penangguhan selama tiga (3) bulan dan baki 57% kelulusan di bawah pelan pengurangan ansuran selama enam (6) bulan.

“Pihak Bank juga giat menghubungi para pelanggan yang terkesan tetapi masih belum menghantar dokumen sokongan yang diperlukan bagi permohonan bantuan pembayaran semula bersasar mereka. Di samping itu, proses permohonan juga telah dipermudahkan bagi membantu pelanggan.”

“Kami sedar terdapat pelanggan yang mungkin terus mengalami tekanan aliran tunai ekoran pandemik yang sedang melanda dan memerlukan sokongan tambahan bagi membolehkan mereka menguruskan keadaan kewangan dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Bank Islam sentiasa bersedia untuk berbincang dan menyediakan penyelesaian kewangan terbaik bagi membantu mereka mendepani keadaan yang mencabar ini.

“Kakitangan kami juga secara proaktif menghubungi pelanggan yang mungkin terjejas, terutamanya dalam sektor yang terkesan ekoran penularan COVID- 19. Ini termasuk warga kerja dalam sektor pelancongan, hospitaliti dan penerbangan.

“Ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kami untuk membantu pelanggan bagi membolehkan mereka mengukuhkan kewangan masing-masing,” katanya.

Beliau menambah, walaupun tempoh moratorium automatik selama enam bulan telah berakhir pada akhir September 2020, Bank Islam terus mempertimbangkan permohonan daripada pelanggan terkesan yang memerlukan bantuan pembayaran semula ini.

Setakat hari ini, 98% pelanggan Bank Islam telah menyambung semula komitmen pembayaran pembiayaan mereka. Pembayaran semula ini dapat memastikan kecairan dan sumber kewangan sentiasa tersedia bagi membolehkan Bank Islam terus memberikan sokongan kepada individu dan perniagaan lain.

“Bagi pihak Bank Islam, saya amat berterima kasih terhadap sokongan yang diterima daripada segenap pihak walaupun ketika keadaan yang mencabar ini. Bank Islam komited untuk memastikan kebajikan pelanggan dan perniagaan kami terus terpelihara, pada masa sama memainkan peranan untuk menyokong pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Bank Islam memberi jaminan bahawa perkhidmatan perbankan yang berterusan boleh terus dinikmati melalui platform perbankan dalam talian dan maya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (“PKPB”) bagi memenuhi keperluan perbankan pelanggan.

Sebagai alternatif, pelanggan boleh menghubungi Pusat Panggilan Bank Islam di talian 03-26 900 900 atau mengimbas Kod QR di bawah bagi memohon bantuan pembayaran semula pascamoratorium Bank Islam:

Untuk makluman lanjut, sila layari www.bankislam.com/COVID-19.

page3image40829552