Diuji dengan kehidupan yang mencabar seawal usia 8 tahun, anak bongsu bersama dua
kakaknya mengambil keputusan untuk tinggal bersama bapanya apabila kedua ibu bapa 3
beradik itu berpisah.
Muhammad Aliff Aryan Aziz yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah kemudian mengikuti bapanya berpindah ke Perlis dan meneruskan persekolahan di Tahun Tiga di Sekolah Kebangsaan Sungai Baru, Perlis sehingga tahun enam.
Dengan hanya berbekalkan gaji bapanya yang merupakan seorang tukang kebun sekolah
bagi menyara hidup, kehidupan beliau dan keluarga terus diuji apabila pada 7 Januari 2015, ibunya telah meninggal dunia akibat kanser payu dara, ketika usianya hanya 13 tahun dan merupakan hari di mana beliau mendaftar persekolahan menengah.
Berbekalkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah
(UPSR), beliau kemudiannya telah mendapat tawaran dan melanjutkan pelajaran ke
tingkatan satu di Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Perlis serta melayakkannya
untuk mendapat surat tawaran program pembiayaan pendidikan, Peneraju Tunas Geliga
oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju).
Aktif dalam bidang kokurikulum khususnya pengucapan awam di peringkat sekolah menengah, semangat kental anak muda ini tidak mengenal putus asa untuk terus cemerlang dalam pelajaran apabila memperoleh 10A dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketika ditanya bagaimana beliau mengetahui mengenai program pembiayaan pendidikan
yang ditawarkan oleh Yayasan Peneraju ini, Aryan berkata program itu dimohon oleh guru
sekolah rendahnya iaitu Cikgu Salawati ketika belajar di Tahun Enam berdasarkan
keputusan peperiksaan percubaan UPSR.
Beliau yang kini menetap di Kampung Melintang, Sungai Baru, Perlis berkata, beliau yang
banyak menghabiskan masanya tinggal di asrama, telah banyak mengajarnya erti sebenar
kehidupan berdikari dan membakar semangatnya untuk berjaya dalam pelajaran.
“Saya banyak menyertai pertandingan bahas dan ketika di sekolah menengah, saya
mencapai beberapa kejayaan misalnya menjadi kapten sekolah bagi pasukan bahas dengan
mendapat kedudukan ke-16 sekolah terbaik manakala saya sendiri menduduki tempat
ketiga pembahas terbaik dalam kejohanan bahas membabitkan sekolah berasrama di
peringkat kebangsaan,” katanya.
Kejayaan paling manis apabila beliau menerima Anugerah Emas dalam Pertandingan Bahas di Festival Sains dan Akademik di Thailand dengan membahaskan tajuk “The Uniqueness Of Malaysia” ketika di Tingkatan Empat dan dianugerahkan “GRIT Award” semasa Majlis Graduasi Peneraju Tunas Geliga 3 anjuran QSC Outreach Services (rakan program Yayasan Peneraju yang mengendalikan program Peneraju Tunas Geliga).
Maka tidak hairanlah beliau juga dianugerahi Tokoh Nilam Negeri Perlis sebanyak dua kali
iaitu ketika di tahun enam dan tingkatan lima.
Mengulas mengenai minat kepada pengucapan awam, beliau dapat mempelajari pelbagai
perkara dan memperoleh maklumat yang membina keyakinan diri selain membantu
menyelesaikan masalah.
Meskipun ketiga-ketiga beradik ini dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan dengan
bergantung kasih sayang hanya kepada seorang ayah, dua kakaknya juga cemerlang dalam
pelajaran apabila berjaya bergelar graduan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Katanya, kakak sulungnya tamat dalam bidang Pengajian Perniagaan manakala kakak
keduanya adalah pemegang Diploma Sains Komputer dalam pengkhususan rangkaian net
(networking).
Walau bagaimanapun, kakak keduanya kini adalah pemain ragbi kebangsaan sepenuh
masa mewakili Malaysia dalam beberapa kejohanan ragbi termasuk di Sukan SEA 2017 di
Kuala Lumpur dan Sukan Sea 2019 di Filipina.
Ditanya apa yang menjadi inspirasi kepada kejayaan dirinya, beliau berkata, kesemua ini
disebabkan oleh status keluarganya yang susah dan cabaran-cabaran yang dilalui
sepanjang hidupnya menjadikan dirinya berasa bertanggungjawab untuk mengubah
kehidupan keluarga.
“Memetik kata-kata pemimpin terkenal Nelson Mandela ‘Pendidikan adalah kunci untuk
mengubah nasib seseorang’ dan berpegang kepada kata-kata itu, saya menanamkan azam
untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan kerana saya adalah satu-
satunya anak lelaki dalam keluarga ini.
“Kesusahan dan kepayahan dalam hidup ini membakar semangat saya untuk berjaya pada
hari ini kerana kita takkan mahu hidup dalam keadaan yang sama selamanya, maka
pendidikan adalah kunci untuk mengubah nasib keluarga saya,” katanya.
Beliau yang bercita-cita untuk menjadi penganalisis kewangan pada satu hari nanti berkata, ketika ini beliau sudah mendaftar sebagai pelajar untuk Program Akademik United Kingdom dengan mengikuti Kursus Persediaan di Kolej MARA Banting bermula 6 Julai 2020 hingga Jun 2022.
Meskipun pada mulanya beliau keliru untuk membuat keputusan apabila mendapat tiga
tawaran belajar sekali gus, namun minat mendalam dalam bidang perniagaan membuatkan
beliau memilih untuk mengikuti kursus dibawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam
Malaysia (JPA).
Dua lagi tawaran adalah daripada Yayasan Telekom Malaysia (TM) Future Leaders Scholarship menerusi program Bachelor of Engineering (Hons) Electronics Majoring in
Telecommunicatios di Universiti Multimedia, Cyberjaya dan Program Penajaan Pendidikan
Petronas dalam kursus program Asasi Undang-undang UiTM dan Ijazah Pertama Sarjana
Muda (Kepujian) Undang-Undang UiTM.
“Jika saya mendapat kelulusan baik, saya akan menyambung pelajaran di United Kingdom
di peringkat Diploma dalam bidang perakaunan atau kewangan dan bercadang meneruskan
pengajian di peringkat ijazah jika mendapat tajaan,” katanya.
Beliau berkata, minat dalam bidang perniagaan sudah bermula ketika di bangku sekolah lagi apabila sering membantu cikgu dan rakan-rakan di sekolah mempromosikan bidang
perniagaan menerusi penganjuran Hari Kantin.
“Ketika itu, saya sebagai Ketua Pegawas telah dijemput oleh Perlis FM untuk bercerita
mengenai kejayaan menerima anugerah Tokoh Nilam Perlis dan saya mengambil
kesempatan itu untuk turut mempromosikan Hari Kantin sekolah yang membuka jualan
kepada orang ramai,” katanya.
Menceritakan pengalaman manis sebagai penerima faedah bagi program Peneraju Tunas
Geliga daripada Yayasan Peneraju, beliau dapat berkenalan dengan ramai fasilitator yang
ketika itu menjadi pelajar senior di sekolah dan mereka banyak membantu serta prihatin
dengan masalah yang dihadapinya.
Ditanya mengenai nasihat kepada anak-anak muda khususnya yang sedang belajar di
sekolah rendah dan menengah, beliau berpesan, meskipun datang dari keluarga yang
susah dan serba kekurangan, namun tiada perkara yang mustahil tidak dapat dilakukan.
“Saya sering berpesan kepada diri sendiri bahawa tiada yang mustahil dan tiada apa yang
boleh dicapai jika kita mempunyai kesungguhan.
“Anggaplah kekurangan sebagai satu kelebihan dan jadikan kekurangan diri untuk
membakar semangat kita untuk berjaya pada masa depan. Tiada apa yang menghalang
usaha kita melainkan diri kita sendiri,” katanya.
Beliau turut menjadikan kisah aspirasi seorang buta yang didorong ayahnya untuk belajar
bersungguh-sungguh kini berjaya bergelar seorang profesor di sebuah universiti tempatan
sebagai idola hidupnya.
Mohd Ariff Ithnin, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju menzahirkan rasa
gembira dan bangga atas pencapaian beliau dan percaya bahawa beliau pastinya akan lebih berjaya di masa akan datang.
Yayasan Peneraju turut berharap semoga beliau ini akan terus berusaha keras dan konsisten serta fokus kepada pembelajaran yang bakal menanti yang pastinya akan lebih mencabar apabila berada di peringkat Ijazah Sarjana Muda di United Kingdom kelak.