Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) melancarkan Pos ArRahnu Gold-i, sebuah perkhidmatan emas digital patuh Syariah yang membolehkan rakyat Malaysia mula menyimpan dan melabur dalam emas serendah RM10 menerusi platform yang mudah dan selamat.

Majlis pelancaran diadakan di ibu pejabat Pos Malaysia di Dayabumi, Kuala Lumpur, dan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Go Capital Growth Sdn Bhd, Fong Pok Yee dan Pengurus Besar Go Capital Growth Sdn Bhd, Hong Kok Wah.

Turut hadir ialah wakil daripada Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), SIRIM QAS International Sdn Bhd, Pasukan Pengurusan Kanan Pos Malaysia, wakil media serta tokoh berpengaruh (key opinion leaders).

Dilancarkan dengan kerjasama Go Capital Growth Sdn Bhd, Pos ArRahnu Gold-i menggabungkan jangkauan runcit dan digital Pos Malaysia yang dipercayai dengan kepakaran emas Go Capital Growth, sekali gus memberikan pelanggan cara yang praktikal dan mudah diakses untuk memulakan perjalanan simpanan emas mereka.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, emas kekal sebagai simpanan kekayaan yang bernilai. Pos ArRahnu Gold-i menyahut permintaan ini dengan menjadikan pelaburan emas lebih mudah dimulakan bagi penyimpan kali pertama, golongan belia yang bekerja, keluarga dan pelanggan B40.

Charles Brewer, Group CEO of Pos Malaysia & Fong Pok Yee, CEO of Go Capital Growth Sdn Bhd

“Emas sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam kehidupan rakyat Malaysia, melambangkan keselamatan, kestabilan dan sesuatu yang boleh dibina serta diwariskan daripada satu generasi ke generasi seterusnya,” kata Charles Brewer.

“Menerusi Pos ArRahnu Gold-i, kami memudahkan pelanggan untuk memulakan simpanan secara kecil-kecilan dan membina simpanan mereka dengan cara yang mudah serta berpatutan. Dengan titik permulaan hanya RM10, pelanggan boleh mengambil langkah pertama ke arah membina jaminan kewangan jangka panjang menerusi perkhidmatan dan rangkaian yang telah pun mereka kenali.”

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Pos Malaysia dan Pos ArRahnu sebagai pembekal dipercayai bagi emas tempaan premium dan platform emas digital untuk Pos ArRahnu Gold-i. Komitmen kami adalah untuk sentiasa menyediakan produk emas fizikal yang memenuhi piawaian kebangsaan yang diiktiraf, termasuk SIRIM MS1247 dan NMIM,” kata Fong Pok Yee.

Emas yang ditawarkan menerusi Pos ArRahnu Gold-i disokong oleh pentauliahan dan pengesahan daripada badan berkaitan yang diiktiraf termasuk London Bullion Market Association (LBMA), SIRIM dan Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), memberikan jaminan yang lebih tinggi terhadap ketulenan, kualiti dan ketelusan.

Sempena pelancaran ini, Pos ArRahnu turut memperkenalkan produk emas pilihan, termasuk jongkong emas edisi khas “Pos World” 1g, yang dihadkan kepada 500 keping sahaja dan boleh diperoleh bersama-sama produk lain di cawangan Pos ArRahnu di seluruh negara.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini