Pemasangan tempatan di Kenya akan bantu pembangunan pusat pembuatan automotif tempatan.
PROTON menambah satu nama baru dalam senarai negara eksport apabila menghantar kereta Proton ke Kenya untuk kali pertama baru-baru ini.
Sebanyak 30 buah Proton Saga dihantar secara CKD (pemasagan tempatan) dan akan dipasang oleh syarikat Simba, sebuah konglomerat pelbagai perniagaan yang mempunyai sejarah panjang dalam penjualan dan pengalaman pemasangan di industri automotif.
Pemasangan kereta Proton mendorong aktiviti pembuatan rakyat Kenya PROTON membuat keputusan untuk mengeksport Saga secara CKD setelah perundingan terperinci bersama rakan kongsi di Kenya, Simba.
Selain daripada kenderaan pemasangan tempatan membayar cukai yang lebih rendah,
unit CKD juga dijangka akan mendorong pembangunan industri pembuatan automotif Kenya.
“PROTON akan tetap mengukuhkan kedudukan domestik, kami ingin dikenali sebagai pembuat kenderaan antarabangsa. Oleh demikian, produk kami perlu berada di bandar lain seperti Bangkok, Islamabad, Cairo dan kini, Nairobi.
Di peringkat negara, usaha ini akan meningkatkan nilai perdagangan antara Malaysia dan Kenya, and juga menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan di industri automotif Kenya,” kata Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.
Tetamu kehormat bagi majlis pelepasan ini adalah Pesuruhjaya Tinggi Kenya ke Malaysia, Francis N. Muhoro.
Dalam ucapan beliau, Muhoro menerangkan dasar pandang ke Timur yang diamalkan oleh negaranya dan harapan beliau supaya lebih banyak syarikat Malaysia seperti PROTON boleh menerokai peluang pelaburan di Kenya.
“Malaysia dan Kenya kongsi banyak persamaan, dari tanah jajahan ke usaha kami untuk membangunkan negara masing-masing. PROTON bukan saja menjejak ke negara dengan populasi 51 juta orang, tetapi juga pintu masuk ke benua Afrika yang mempunyai pasaran berpotensi sebanyak 1.3 bilion orang.
Oleh itu, saya berharap ini menjadi permulaan kepada lebih banyak perdagangan antara dua negara,” katanya.