Sesi reviu kereta kini sudah kembali selepas beberapa bulan tertangguh akibat penularan wabak COVID-19 yang menyebabkan beberapa sektor perniagaan terpaksa dihentikan sementara termasuk bilik pameran dan servis kenderaan.
Sebagai sesi pemanas badan (warm-up) selepas sektor ini dibenarkan beroperasi semula, penulis memilih model Perodua Bezza versi 2020 yang dipertingkatkan dengan beberapa ciri baru meliputi aspek luaran dan dalaman.
Jadi destinasi pilihan Prebiu.com ialah Lumut, Perak membabitkan perjalanan sehala lebih 250 kilometer sekali gus dapat merasai bagaimana prestasi Perodua Bezza ini bagi perjalanan di bandar, lebuh raya dan jalan raya biasa.
Jika diimbas kembali sejarah kelahiran Bezza ini yang pertama kali diperkenalkan pada Julai 2016 sebagai sedan pertama Perodua yang menerima sentuhan sepenuhnya jurutera pengeluar kereta nasional kedua negara itu.
Apa yang pasti ketika pertama kali berada di jalan raya, model itu menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai dan daripada itu pasukan jurutera Perodua melakukan beberapa penambahbaikan setiap tahun bagi memastikan model itu sentiasa segar di pasaran.
Melangkah pada tahun 2020, Perodua sekali lagi melancarkan versi Bezza (2020) yang dipertingkatkan dengan beberapa pembaharuan pada gaya luaran dan dalaman namun masih mengekalkan asas kerangka dan enjin yang sama.
Rekaan Luaran
Perkara pertama yang sering mendapat perhatian apabila membeli kereta baharu tentunya rekaan luaran iaitu hadapan dan belakang. Jika sedap mata memandang tentu sekali habuan berbentuk ‘pujian’ menjadi ganjaran.
Lampu depan Bezza (2020) kini lebih tirus, dengan gril direka semula bagi memberikan profil depan yang lebih mendongak, jika sekali imbas seakan gril pada model popular Myvi.
Rekabentuk bampar juga diubah sepenuhnya apabila tidak lagi direka secara melintang manakala kombinasi warna dwi-tona pada bawah bampar menyerlahkan gaya sporty.
Sesuai dengan hashtag Bezza #LEBIHPADU, rekaannya nampak lebih mantap dengan padanan lampu depan yang kini diberikan ciri LED untuk semua varian dan mengekalkan posisi lampu siang (DRL) di atas, sebaris dengan panel krom pada gril.
Jika dilihat pada bahagian sisi pula, skirt sisi dwi-tona kini ditawarkan untuk semua varian, manakala perumah lampu kabus hadapan direka lebih bersegi dan memberikan kelebihan ketika dipandu pada waktu malam yang berkabus atau hujan.
Rekabentuk lampu belakang masih sama, tetapi bampar belakang diberikan kemasan reflektor besar dan kelihatan seakan bampar yang dipadankan pada model Axia facelift dan Myvi.
Bezza (2020) menampilkan rekabentuk set rim aloi dwi-tona baharu, iaitu 15 inci untuk varian X dan AV, manakala 14 inci untuk varian G. Posisi antena sirip jerung masih di belakang tengah bumbung kereta.
Selain itu, bagi versi baharu ini, cermin sisi dipadankan bersama signal membelok untuk semua varian, manakala varian AV pula, cermin sisinya boleh dilipat secara automatik.
Rekaan Dalaman
Melangkah masuk ke ruang dalaman pula, sedikit perubahan dilakukan pada bahagian papan pemuka yang dilihat lebih elegan dan kemas.
Bagi model Bezza 1.3AV yang dipandu uji ini, terdapat punat kawalan audio pada sebelah kiri stereng disediakan bagi memudahkan pemandu memberi tumpuan penuh di jalan raya.
Kekemasan perak juga melingkari papan pemuka hadapan dengan kelihatan lebih ketara berhampiran papan skrin infotainment yang hadir dengan skrin sentuh dan ciri mirrorlink untuk telefon pintar.
Bahagian kabin juga menampilkan panel meter kombi baharu dengan kerusi semi-bucket kulit manakala model AV ini dilengkapi sistem penghidup tanpa kunci (keyless), dan sensor sisi depan untuk varian X dan AV.
Bagi keselesaan pemandu, sistem multimedia bagi varian ini hadir dengan navigasi dan sambungan Smart Link untuk peranti Android. Pada masa sama, semua varian diberikan ciri sensor undur, manakala varian AV ditambahkan ciri kamera undur.
Melihat kepada rekaan kerusi pula, penulis difahamkan, Perodua telah mengubah sedikit tahap kedudukan kerusi penumpang belakang yang sebelum ini agak tegak kepada kedudukan yang lebih selesa.
Terdapat juga cangkuk ‘teh tarik’ pada kedua-dua kerusi hadapan manakala kunci keselamatan untuk beg tangan wanita disediakan pada sisi kerusi penumpang hadapan.
Bagi mereka yang bimbang kehabisan bateri telefon, terdapat lubang pengecas USB (siap dengan slot) disediakan untuk penumpang belakang dan pemandu dihadapan.
Sebagai semua kereta sedan mampu milik, ciri pengecas USB dianggap sudah memadai meskipun tiada corong pendingin hawa disediakan kepada penumpang belakang.
Enjin
Tiada sebarang perubahan besar pada transmisi kuasa Bezza (2020) yang masih mempertaruhkan enjin 1KR-VE 1.0L VVT-i (67 hp, 91Nm) dan enjin 1NR-VE 1.3L Dual VVT-i (94hp, 121Nm) bersama pilihan kotak gear manual 5-kelajuan atau automatik 4-kelajuan.
Enjin Bezza yang mendapat pengiktirafan sebagai Kenderaan Jimat Tenaga (EEV) dengan ciri Eco Idle itu mampu mencapai tahap penggunaan minyak sejauh 22 kilometer (km) bagi setiap liter bagi transmisi automatik manakala 22.8 km bagi model manual.
Maka tidak hairanlah ketika kereta ini dikerah di lebuh raya, ia masih mampu mengekalkan tahap penggunaan minyak yang efisyen.
Berdasarkan pada bacaan elektronik minyak pada panel meter Bezza ini, ketika kereta ini diambil daripada ibu pejabat Perodua, dengan tangki penuh, kereta ini mampu bergerak sejauh 531 km.
Ciri Keselamatan
Perodua Bezza (2020) buat pertama kalinya dipadankan dengan ciri keselamatan terkini iaitu Bantuan Pemanduan Selamat atau A.S.A 2.0 yang membantu mengurangkan kemalangan pada kelajuan perlahan dan sederhana.
Ia adalah ciri yang sama dipadankan pada model SUV Aruz malah lebih maju daripada Myvi yang menggunakan versi 1.0.
Ciri itu bertindak balas menerusi kamera stereo yang dipasang pada cermin depan bagi mengesan sebarang halangan. Ia mempunyai 4 fungsi bagi memberi amaran kepada pemandu termasuk mengaktifkan brek pra-pelanggaran apabila sistem mengesan risiko pelanggaran dengan kenderaan atau pejalan kaki.
Kelebihan pada ciri A.S.A 2.0 ini ialah ciri brek kecemasan autonomous (AEB) yang bertindak membrek secara automatik pada tahap berkesan sehingga kelajuan 80 km/j.
Ciri itu juga boleh mengesan pejalan kaki dalam kelajuan hingga 50 km/j. Ciri ini cukup membantu sekiranya anda sedang berada dikawasan perumahan padat apabila secara tiba-tiba tidak perasan kanak-kanak atau pejalan kaki sedang melintas jalan.
Ciri A.S.A 2.0
- Pengesan Pejalan Kaki – hingga 50kmj
- Amaran Pra-Pelanggaran (PCW) – hingga 100kmj
- Brek Pra-Pelanggaran (PCB) – hingga 80kmj
- Amaran Pergerakan Hadapan (FDA)
- Kawalan Kesilapan Pedal (PMC)
Harga
Perodua Bezza 2020 1.0G dijual pada harga RM36,580, manakala varian yang paling tinggi dan lengkap, Perodua Bezza 2020 1.3AV pula dijual pada harga RM49,980. Dua lagi baki varian pula terdiri daripada yang paling asas, iaitu 1.0G manual yang dijual pada harga RM34,580, sementara versi 1.3X pula diberikan tanda harga sebanyak RM43,980.
Bagaimanapun, harga kesemua varian ini berubah dengan sedikit murah disebabkan penangguhan cukai jualan ke atas semua jenis kenderaan yang dipasang sepenuhnya (CKD) di negara ini susulan pengumuman kerajaan bagi merancakkan semula sektor automotif yang terjejas teruk akibat COVID-19.
Kesimpulan
Model sedan Bezza bukan sahaja menawarkan ruang yang selesa, penjimatan bahan api dan ciri keselamatan termaju, ia juga menyediakan satu tanda harga yang mampu milik khususnya mereka yang sedang mencari-cari sebuah kenderaan untuk kegunaan keluarga.
Maka tidak hairanlah, lambakan model Bezza dijalan raya menjadi pilihan pemandu-pemandu perkhidmatan e-hailing seperti Grab atau MyCar malah individu yang turut menyediakan perkhidmatan penghantaran barangan.
Bezza sesuai digunakan sebagai kenderaan harian ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, kegunaan pelajar kolej atau universiti disebabkan, praktikal, kos pemilikan dan operasinya yang rendah.
Jika dibandingkan harganya dengan model terdekat Proton Saga Premium misalnya, model Bezza 1.3AV lebih mahal kira-kira RM10,000, satu tanda harga yang agak jauh bagi sebuah kereta dalam segmen A.
Namun, jika dilihat kepada ciri yang ditawarkan khususnya Bantuan Pemanduan Selamat (ASA), ia dianggap berbaloi kerana ‘nyawa lebih penting dan tidak mampu dibeli dengan wang ringgit’. Ia adalah satu sistem termaju yang banyak ditawarkan oleh kebanyakan kereta-kereta terkini dipasaran.
Selain ciri A.S.A 2.0, Bezza juga dilengkapi ciri keselamatan tambahan iaitu sistem kawalan cengkaman (TRC), sebagai tambahan kepada sistem sedia ada lain seperti ABS, EBD dan VSC selain Bantuan Daki Bukit (HSA).
Bagi keselamatan pemandu, ciri anti regang turut disediakan pada tingkap sebelah pemandu yang bertindak balas secara automatik menghentikan sistem operasi tingkap apabila mengesan sesuatu halangan.
Bagaimanapun, rekaan penyaman udara kereta ini mungkin boleh diperbaiki pada masa depan khususnya pada bahagian sisi agar lebih besar kerana kita sedia maklum mengenai keadaan cuaca negara ini yang panas.
*Foto dan video diambil menggunakan telefon Samsung Galaxy S20 Ultra 5G