Rekod tahunan bagi Perodua dengan jualan 240,341 kenderaan pada 2019 dan penguasaan bahagian pasaran sebanyak 40%.
Perodua telah memecahkan rekod jualan tahunannya, iaitu 227,243 unit pada 2018, dengan jualan 240,341 kenderaan pada 2019, didorong permintaan yang kekal tinggi untuk semua modelnya – mengikut urutan menaik, Alza, Aruz, Bezza, Axia dan Myvi.
“Pencapaian ini di luar jangkaan kami. Kami berterima kasih kepada semua rakyat
Malaysia atas sokongan padu mereka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif
Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
“Didorong permintaan yang tinggi, kami menjangkakan prestasi jualan kami tahun ini
setanding dengan tahun lepas. Kami menetapkan sasaran jualan 240,000 unit untuk
2020 dan optimis ia boleh dicapai walaupun persaingan dijangka bertambah sengit
tahun ini,” katanya.
Angka jualan 2019 Perodua mewakili peningkatan 13,098 unit (+5.8%) berbanding
2018, dan merupakan angka jualan tahunan tertinggi dalam sejarah syarikat
tersebut.
“Berdasarkan anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) 604,775 unit, Perodua
menguasai hampir 40% pasaran Malaysia, berbanding 38% tahun lepas,” katanya lagi.
Semua model Perodua menerajui segmen masing-masing pada 2019, termasuk Perodua Aruz yang menjadi SUV terlaris negara dengan jualan 30,115 unit.
Setakat ini, lebih 2,000 unit Perodua Bezza 2020, yang dilancarkan dua minggu lalu, telah menemui pemiliknya daripada 15,000 tempahan yang merangkumi 8,000 tempahan untuk model sebelumnya yang telah ditukar kepada model terkini.
“Kami menganggarkan kira-kira 13,000 tempahan dari tahun lepas yang belum dipenuhi. Kepada para pelanggan yang dihargai, kami sedang bertungkus-lumus untuk menyerahkan kenderaan kepada anda secepat mungkin. Kami menghargai kesabaran anda serta memohon maaf atas penungguan anda,” katanya.
Perodua menyasarkan peningkatan pengeluaran sebanyak 4% ke 254,000 unit daripada 244,400 unit pada 2019. Angka ini merangkumi pengeluaran untuk eksport dan penyimpanan stok untuk 2021.
“Kami menjangkakan separuh pertama 2020 yang mencabar – Perodua akan memberi tumpuan kepada memenuhi tempahan yang sedia ada. Kami akan menilai semula keadaan pasaran pada separuh kedua sambil membina inventori kami supaya kami bersedia andai pasaran bertambah baik,” katanya.
Menurutnya, dengan peningkatan pengeluaran, Perodua menjangkakan perbelanjaan RM6 bilion tahun ini untuk membeli komponen tempatan, berbanding RM5.4 bilion tahun lepas.
Dari segi eksport 2019, Bezza menjadi sedan bawah-1.0 liter terlaris di Sri Lanka, manakala Perodua memasuki pasaran baharu, Seychelles.
“Walaupun eksport kami kekal berskala kecil pada kira-kira 2,800 unit tahun lepas, kami akan teruskan usaha membina jenama kami di peringkat antarabangsa ke arah meningkatkan angka tersebut tahun ini,” katanya.
Dari sudut selepas jualan, Perodua menyaksikan 2.35 juta pengambilan servis pada 2019 melalui 186 pusat servisnya di seluruh negara – kenaikan 8.3% berbanding 2.17 juta pengambilan servis pada 2018.
Zainal berkata, Perodua akan terus bekerjasama dengan para pengedarnya, yang kini membentuk 75% daripada rangkaian jualan dan servisnya, untuk menaik taraf dan melabur untuk meningkatkan kepuasan pelanggan.
“Perodua mempunyai rangkaian jualan dan servis kenderaan yang terluas di Malaysia. Kami berhasrat untuk menambah baik kemudahan yang sedia ada melalui kerjasama erat dengan para pengedar kami supaya kami boleh memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada para pelanggan kami yang dihargai,” katanya.