Proton menyediakan Proton X70 bagi menyokong forum kerjasama ekonomi
SUV segmen C premium paling popular di Malaysia iaitu Proton X70, telah dipilih menjadi antara kenderaan rasmi bagi persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 atau MyAPEC 2020.
Model ini akan digunakan untuk menyokong forum sepanjang tahun itu yang mempromosikan kerjasama ekonomi di rantau Asia-Pasifik.
APEC terdiri daripada 21 ekonomi yang akan melawat Malaysia sepanjang 2020 di mana Jawatankuasa Kerja akan membincangkan pelbagai isu ke arah integrasi dalam ekonomi serantau.
Perbincangan mengenai perdagangan dan pelaburan bebas serta terbuka juga dipertingkat dengan menangani isu-isu mengenai penerimaan digitalisasi, meningkatkan usaha pembangunan sumber manusia, memperkasakan wanita dan lain-lain lagi.
Sebagai sebuah jenama automotif negara, Proton adalah simbol perindustrian Malaysia di mana terdapat peralihan dari ekonomi berasaskan sumber semula jadi kepada ekonomi pembuatan dan pengetahuan.
Proton X70, kereta pertama yang akan dilancarkan sejak Proton bekerjasama dengan Kumpulan Geely Automobile telah menaikkan semula nama syarikat kerana model tersebut diterima baik dan menjadi SUV terlaris di dalam kelasnya.
“Proton berbesar hati menyokong Malaysia yang menjadi hos bagi sidang kemuncak APEC 2020. Dengan adanya ciri-ciri pintar, pengendalian yang mantap, dan penarafan keselamatan lima bintang oleh ASEAN NCAP, kami percaya bahawa Proton X70 boleh mencerminkan kerjasama erat antara negara-negara melalui persidangan seperti APEC yang bergabung demi menaik taraf antara satu sama lain, sekaligus meningkatkan keupayaan keseluruhan industri dan ekosistem sokongan,” kata Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.
Sepanjang forum ini dijalankan, kereta-kereta yang digunakan akan dijaga rapi melalui 120 rangkaian pusat 3S/4S Proton yang akan beroperasi menjelang akhir 2019.