Perkhidmatan pemeriksaan kenderaan percuma yang telah lama dilaksanakan Perodua, Tweckbot, akan melakukan jelajah keselamatan jalan raya terakhirnya bagi tahun ini di Kota Kinabalu pada hujung minggu hadapan.
Salah satu inisiatif di bawah Program Keselamatan Jalan Raya Perodua, Tweckbot akan bertempat di ITCC Mall, Penampang dari jam 10 pagi hingga 5 petang pada 21hb dan 22hb Disember, bagi menawarkan pemeriksaan percuma ke atas kenderaan Perodua.
Pelanggan yang memeriksa kenderaan mereka dengan Tweckbot akan menerima baucar diskaun 20% yang boleh ditebus untuk pembelian alat ganti dan aksesori terpilih di mana-mana pusat servis Perodua yang sah*.
“Menjelang perayaan Krismas dan Tahun Baharu yang bakal tiba, ramai yang akan menggunakan jalan raya untuk bercuti serta melawat keluarga dan sahabat handai.
Oleh itu, keadaan kenderaan anda amatlah penting pada masa ini, lebih-lebih lagi di Malaysia Timur di mana jarak perjalanan adalah jauh.
“Pasukan Perodua Tweckbot akan memeriksa kenderaan anda dan memberikan laporan keadaan secara percuma. Semasa menunggu, kakitangan kami akan mempelawa anda untuk menyertai pelbagai aktiviti menyeronokkan bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
Pemeriksaan kenderaan melebihi 50 poin tersebut merangkumi enjin, transmisi, sistem penyejukan, brek, stereng kuasa, klac, tayar, suspensi dan elektrik.
“Perodua Tweckbot bertujuan untuk menekankan kepentingan memeriksa kenderaan secara berkala, melakukan servis di pusat servis Perodua yang sah serta hanya menggunakan produk dan alat ganti Perodua yang tulen, semuanya demi keselamatan.
“Program ini mewakili komitmen kami kepada para pelanggan yang dihargai untuk sentiasa menawarkan perkhidmatan dan mutu kerja yang terbaik bagi ketenangan minda mereka,” katanya.
Perodua Tweckbot telah memeriksa lebih 8,000 kenderaan sejak pengenalannya pada 2011.
*Tertakluk kepada terma dan syarat.