Apabila memperkatakan tentang laluan kerjaya, para belia Malaysia lazimnya cenderung untuk memilih kerjaya seperti doktor, jurutera atau peguam.
Walaubagaimanapun, terdapat laluan kerjaya alternatif di luar sana untuk bakat muda Malaysia yang boleh membawa kejayaan kepada mereka. Malaysia dan negara-negara lain di seluruh dunia kini berdepan dengan perubahan sosial, budaya, ekonomi, persekitaran dan teknologi termasuk sektor pekerjaan.
Dunia semakin berubah, termasuk peluang pekerjaan. Dapatan Laporan Masa Depan Pekerjaan 2018 (Future of Jobs Report 2018) oleh Forum Ekonomi Dunia mendedahkan antara 10 pekerjaan baru muncul menjelang 2022 termasuk penganalisis dan saintis data, Kepintaran Buatan (Artificial Intelligence) dan pakar pembelajaran mesin, penganalisis dan pemaju perisian dan aplikasi, jualan dan pemasaran, pakar data raya, pakar pembangunan organisasi, dan pekerjaan yang berkaitan dengan perkhidmatan teknologi maklumat.
Kajian ini juga menemui bukti meluas tentang peningkatan permintaan untuk pelbagai peranan baru pakar yang berkaitan dengan keupayaan untuk memahami dan memanfaatkan teknologi terkini: Pakar Automasi, Penganalisis Keselamatan Maklumat, Pereka Pengalaman Pengguna dan Interaksi Manusia-Mesin, Jurutera Robotik dan Pakar Blockchain.
Dapatan Laporan Masa Depan Pekerjaan 2018 melihat pada jangkaan trend dari 2018-2022 melibatkan 20 buah negara dan 12 sektor industri.
Yayasan Peneraju menyedari hakikat ini dan mengambil langkah proaktif dengan membangunkan bakat muda tempatan untuk memenuhi keperluan pasaran kerja masa depan terutamanya dalam memenuhi jangkaan Revolusi Industri 4.0.
Yayasan Peneraju bukan sekadar menyediakan kemudahan biasiswa malah turut memupuk dan membangun bakat muda tempatan untuk memenuhi trend pasaran kerja yang semakin berkembang bagi menyokong visi Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan berdaya saing di peringkat global.
Dengan cara ini, negara akan mampu mengurangkan kebergantungan terhadap bakat asing untuk memenuhi pasaran kerja di negara ini. Yayasan Peneraju memainkan peranan penting dalam pembentukan generasi muda dan menggalakkan mereka untuk memilih laluan kerjaya alternatif yang sememangnya penting untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Penyediaan latihan dan pendidikan berkualiti di kalangan bakat muda penting bagi membolehkan mereka menjana pendapatan tinggi dan membantu keluarga mereka. Dalam hal ini, Yayasan Peneraju telah menghasilkan bakat bertaraf dunia apabila sembilan daripada penerima faedahnya berada di kedudukan 10 peratus terbaik dunia dalam peperiksaan Penganalisis Kewangan bertauliah “Certified Financial Analyst” (CFA®) dan Pengurus Risiko Kewangan “Financial Risk Manager” (FRM®).
Pencapaian ini menyusul selepas 29 pelajar program Perakaunan Profesional Yayasan Peneraju menduduki tempat pertama di dunia menerusi anugerah CAT / ACCA World Prize Winner.
Hari ini, Yayasan Peneraju mengiktiraf penerima faedahnya yang cemerlang dalam pelbagai bidang kerjaya di bawah program-program pembiayaan Yayasan Peneraju.
Bidang kerjaya yang diceburi mereka termasuk perakaunan, penganalisis kewangan bertauliah, data raya (big data) hingga ke kerjaya kemahiran teknikal dalam pelbagai sektor termasuk pembinaan mega, elektrik & elektronik, minyak & gas, aero angkasa / penyelenggaraan, pembaikan & baik pulih (MRO) dan telekomunikasi.
Antara penerima anugerah:
Aisyah Othman, 41, dicalonkan untuk Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif. Anugerah ini merupakan pengiktirafan terhadap usaha, ketekunan dan kerja kerasnya dalam menghadapi halangan, cabaran dan stereotaip dalam mengejar kerjaya didalam bidang elektrik dan elektronik, yang secara tradisinya didominasi oleh lelaki.
Tiga penerima Anugerah STAR 2019 yang lain ialah Muhammad Hafiz Samsuddin (Anugerah Paling Cemerlang). Dia menduduki tempat pertama di dunia di dalam peperiksaan Certified Accounting Technician (CAT) dan menduduki tempat ketiga di dunia dalam peperiksaan ACCA; Harziah Khalid Yunus (Most Inspiring Award). Walaupun cacat penglihatan, ini tidak menghalangnya daripada berjaya dalam kerjayanya.
Sementara itu, Louis Jok Jau (Most Promising Award). Beliau diiktiraf atas keazamannya dalam meningkatkan kemahirannya untuk meningkatkan taraf kehidupannya.
“Sekiranya kita ingin memenuhi aspirasi negara ke arah ekonomi yang lebih progresif, berasaskan pengetahuan dan bernilai tinggi dengan penyertaan masyarakat di semua peringkat, kita mesti memastikan bahawa kita mempunyai bilangan profesional dan tenaga kerja yang mencukupi dan boleh dipasarkan dalam sektor utama.
“Ia juga penting dalam usaha memenuhi keperluan ekonomi dan masyarakat sejajar perubahan landskap digital dan persekitaran ekonomi yang semakin kompetitif,” kata Mohd Ariff Bin Ithnin, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju.
Setakat ini, Yayasan Peneraju telah membiayai lebih daripada 26,000 bakat muda Malaysia dalam pelbagai industri.